Bijan Bar & Restaurant Menampilkan Set Makan Berhidang Pada Harga Bermula RM390

February 10, 2026
Makanan & Minuman

Lina Rosli

Dalam budaya Melayu, hidangan bukan sekadar makanan, tetapi ruang untuk berkongsi cerita, mengeratkan hubungan dan mencipta kenangan bersama.

Mengangkat tradisi ini, Bijan Bar & Restaurant memperkenalkan set menu baharu “Makan Berhidang”, diinspirasikan daripada cara makan Melayu tradisional yang menekankan perkongsian hidangan di sekeliling meja.

Set menu ini direka khusus untuk empat orang dan dihidangkan sebagai hidangan lengkap untuk dinikmati secara kolektif, selari dengan semangat kebersamaan yang sinonim dengan Ramadan dan Hari Raya.

Konsep ini juga mencerminkan pendekatan seimbang dalam masakan Melayu, di mana kepelbagaian rasa dan tekstur saling melengkapi tanpa satu hidangan mendominasi meja.

Menurut Bijan, konsep Makan Berhidang ini berpaksikan empat elemen utama iaitu kering, basah, pedas dan segar. Gabungan elemen ini mewujudkan pengalaman makan yang seimbang dari segi rasa, tekstur dan suhu.

Dan keseimbangan ini merupakan asas dalam tradisi masakan Melayu, di mana rempah yang kaya diimbangi dengan elemen segar, manakala kuah dan sambal dinikmati bersama nasi sebagai pelengkap hidangan.

Bagi anda yang ingin berkunjung ke Bijan, restoran ini terletak di Jalan Ceylon, Kuala Lumpur – yang kini telah beroperasi lebih dua dekad. Ini secara tidak langsung menjadikan restoran ini cukup dikenali sebagai destinasi yang mempersembahkan masakan tradisional Melayu dalam suasana makan yang elegan, menjadikannya pilihan popular untuk santapan istimewa dan acara korporat.

Sekiranya anda ingin mencuba set Makan Berhidang di Bijan, di bawah adalah beberapa pilihan makan utama yang boleh didapatkan:

  • Santapan Kenduri Bijan (RM390++) – Set hidangan gaya keluarga yang menampilkan pembuka selera Melayu klasik, laksam, daging panggang, gulai yang kaya, hidangan berasaskan sambal, kerabu segar, pilihan nasi serta pencuci mulut tradisional Melayu.
  • Santapan Warisan Bijan (RM590++) – Menu berfokuskan elemen warisan yang menyerlahkan sup kambing, ikan siakap panggang dengan perasa tradisional, daging yang dimasak perlahan, masak lemak, sayur-sayuran segar, nasi dan pencuci mulut klasik.
  • Santapan Istana Bijan (RM790++) -Set perayaan yang lebih eksklusif menampilkan sup ekor, panggangan Wagyu, makanan laut premium, masak lemak udang galah, hidangan bersambal, elemen segar, nasi dan pilihan pencuci mulut mewah.

Menurut bijan, menu Makan Berhidang ini akan ditawarkan untuk tempoh terhad mulai 20 Februari hingga 20 Mac 2026, dan disajikan setiap hari dari 6:30 petang hingga 10 malam.

Bagi pelanggan yang membuat tempahan awal antara 10 hingga 19 Februari 2026, anda boleh menikmati harga istimewa iaitu diskaun sebanyak RM30 bagi setiap set – seperti Santapan Kenduri Bijan pada harga RM360, Santapan Warisan Bijan pada RM560, dan Santapan Istana Bijan pada RM760.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd