Honda Malaysia Akan Hadir Dengan 6 Model Baharu 2026 – Turut Akan Memperkenalkan Teknologi Hibrid S+ Shift

February 11, 2026
Automotif

Lina Rosli

Honda Malaysia mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran automotif tempatan dengan perancangan agresif untuk 2026, termasuk pelancaran 6 model baharu dan pengenalan teknologi hibrid terkini S+ Shift.

Selari dengan hala tuju perniagaannya, Honda Malaysia turut menetapkan sasaran asas jualan sebanyak 60,000 unit, mencerminkan keyakinan terhadap permintaan pasaran dan peralihan tingkah laku pengguna yang semakin terbuka kepada teknologi elektrifikasi.

Di teras strategi Honda Malaysia ialah komitmen untuk mengekalkan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan, atau “Fun to Drive”, melalui prestasi pemanduan yang responsif serta ciri teknologi canggih yang disesuaikan dengan keperluan pelanggan Malaysia.

Pendekatan ini menjadi tunjang kepada setiap model yang dibangunkan, dengan fokus pada keseimbangan antara prestasi, kecekapan dan keselesaan.

Menurutnya Honda juga, sebuah kenderaan bukan sekadar alat pengangkutan, tetapi pengalaman yang mencipta rasa keterhubungan sebaik sahaja pemandu melangkah masuk ke dalam kabin dan memegang stereng.

Sebagai sebahagian daripada inovasi terbaharu, Honda Malaysia memperkenalkan teknologi S+ Shift buat pertama kali, yang direka untuk meningkatkan penglibatan pemandu dan menjadikan setiap perjalanan lebih dinamik.

Teknologi ini menambah elemen keseronokan dalam pemanduan, selari dengan pendekatan Honda yang menekankan pengalaman pemandu yang intuitif dan responsif.

Dalam usaha memperkukuh kepimpinan dalam segmen hibrid, Honda Malaysia turut merancang untuk mengembangkan barisan e:HEV, membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menikmati prestasi hibrid yang seimbang antara kuasa dan kecekapan bahan api.

Sebagai perintis teknologi hibrid sejak 2004, Honda terus menumpukan kepada pembangunan sistem yang cekap, boleh dipercayai dan berprestasi tinggi, sekali gus mengukuhkan reputasinya dalam mobiliti elektrifikasi.

Tambah Honda Malaysia lagi, mereka optimis dalam mencapai sasaran 2026 – kerana ini didorong prestasi kukuh pada 2025 dengan lebih 72,301 unit terjual dalam persekitaran pasaran yang semakin dipacu oleh permintaan terhadap kenderaan elektrifikasi dan teknologi canggih.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd