Cawan Dan Penyedut Minuman Tealive Kini Direka Untuk Terurai Secara Semula Jadi
Lina Rosli
Isu sisa plastik terus menjadi cabaran global, khususnya dalam industri makanan dan minuman yang bergantung kepada pembungkusan sekali guna.
Menyedari kepentingan kelestarian, Tealive memperkenalkan inisiatif baharu dengan melancarkan cawan dan penyedut minuman mesra alam yang direka untuk terurai secara semula jadi. Dengan ini, ia sekaligus dapat mengurangkan kesan pencemaran terhadap alam sekitar.

Inovasi terbaharu ini menggunakan teknologi Lyfecycle, satu penyelesaian yang membolehkan bahan plastik mengalami proses biodegradasi sekiranya tidak dikitar semula secara manual.
Berbeza dengan plastik konvensional yang boleh mengambil masa ratusan tahun untuk terurai, bahan ini direka untuk kembali ke alam semula jadi dalam tempoh yang lebih singkat tanpa meninggalkan kesan berbahaya.

Menurut Tealive, cawan baharu ini mampu terurai sepenuhnya dalam tempoh kira-kira dua tahun jika terdedah kepada persekitaran semula jadi. Proses penguraian tersebut juga tidak menghasilkan mikroplastik atau toksin, menjadikannya lebih selamat untuk ekosistem.
Walaupun mesra alam, cawan ini masih mengekalkan ketahanan dan kualiti bagi memastikan suhu serta rasa minuman kekal optimum.
Bagi memastikan inovasi ini memenuhi piawaian keselamatan dan kelestarian, produk tersebut telah menerima pensijilan SIRIM ECO 098:2023 – selain turut mematuhi standard antarabangsa BSI PAS 9017, yang mengesahkan keupayaan bahan untuk terurai secara bio di persekitaran terbuka tanpa kesan sampingan.

Selain cawan, penyedut minuman baharu Tealive juga menggunakan teknologi yang sama, menjadikan setiap pembelian minuman sebagai satu langkah kecil ke arah pengurangan sisa plastik.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen jenama tersebut dalam menyokong amalan mesra alam sambil mengekalkan pengalaman minum yang berkualiti untuk pengguna.