Bolehkah Pesakit Kanser Berpuasa? Ini Yang Perlu Pesakit Pertimbangkan

February 19, 2026
Kesihatan

Lina Rosli

Setiap kali Ramadan menjelang, persoalan berkaitan kesihatan dan ibadah sering menjadi perbincangan dalam kalangan masyarakat, khususnya bagi individu yang menghidap penyakit kronik atau sedang menjalani rawatan perubatan.

Dalam konteks peningkatan kes kanser di Malaysia dan kesedaran yang semakin tinggi terhadap kepentingan rawatan awal, isu sama ada pesakit kanser wajar berpuasa turut menjadi topik yang relevan untuk diperhalusi, khususnya bagi membantu pesakit dan keluarga membuat keputusan yang berinformasi.

Walaupun Islam memberikan rukhsah atau kelonggaran kepada mereka yang sakit untuk tidak berpuasa, namun bagi kebanyakan pesakit, berpuasa di bulan Ramadan merupakan suatu aktiviti yang dinanti-nantikan setiap tahun.

Ramadan bukan sahaja menjadi bulan ibadah, malah berperanan sebagai tempoh refleksi diri, pemulihan rohani dan pembentukan disiplin. Namun, pelaksanaan puasa bagi pesakit kanser memerlukan pertimbangan yang seimbang antara aspek spiritual dan kesihatan fizikal.

Setiap pesakit kanser berada pada tahap rawatan yang berbeza. Pesakit yang telah selesai rawatan atau berada dalam fasa pemulihan lazimnya mempunyai keupayaan yang lebih baik untuk berpuasa, manakala mereka yang sedang menjalani pemeriksaan intensif atau terapi aktif mungkin perlu membuat penyesuaian tertentu terhadap rutin harian dan jadual rawatan.

Dalam beberapa situasi, keutamaan diberikan kepada rawatan kuratif bagi meningkatkan peluang pemulihan, sementara pesakit yang menerima rawatan paliatif boleh mempertimbangkan penjadualan semula rawatan mengikut kesesuaian dan nasihat perubatan.

Jenis rawatan dan kesan sampingan turut mempengaruhi kemampuan berpuasa. Rawatan seperti kemoterapi, radioterapi dan terapi bersasaran boleh menyebabkan keletihan, hilang selera makan, ulser mulut serta gangguan gastrousus seperti cirit-birit atau gastritis.

Kesan ini berbeza antara individu dan boleh menjejaskan toleransi tubuh terhadap tempoh berpuasa yang panjang.

Dari sudut pengurusan rawatan, jadual pengambilan ubat dan prosedur perubatan boleh disesuaikan di bawah pemantauan profesional kesihatan. Ubat oral, termasuk kemoterapi dan ubat kawalan loya atau kesakitan, lazimnya boleh diambil pada waktu sahur dan berbuka.

Terapi hormon yang diambil sekali sehari juga boleh diselaraskan mengikut rutin puasa, manakala prosedur radioterapi atau perubatan nuklear boleh dijadualkan mengikut kesesuaian pesakit serta ketersediaan fasiliti perubatan.

Dalam semua keadaan, kesejahteraan pesakit perlu menjadi keutamaan. Pesakit yang masih dalam proses pemulihan selepas pembedahan atau mengalami kekurangan nutrien disarankan untuk menangguhkan puasa sehingga keadaan kesihatan lebih stabil.

Bagi mereka yang memilih untuk berpuasa, pengambilan air yang mencukupi serta diet seimbang yang merangkumi buah-buahan, sayur-sayuran dan sumber protein adalah penting bagi menyokong keperluan nutrisi harian.

Secara keseluruhan, keputusan untuk berpuasa bagi pesakit kanser merupakan keputusan peribadi yang perlu dibuat secara berhemah, dengan mempertimbangkan nasihat doktor, keadaan kesihatan semasa dan kemampuan tubuh.

Menjaga kesihatan diri juga merupakan satu amanah yang selari dengan tuntutan agama, yang menekankan keseimbangan antara ibadah dan kesejahteraan fizikal.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd