Daftar Masuk Rakyat Malaysia Ke Platform Airbnb Meningkat Lebih 200% Pada Bulan Ramadan 2026
Lina Rosli
Pada awal tahun 2026, data di Airbnb menunjukkan yang mana rakyat Malaysia telahpun mula merancang percutian dan perjalanan perayaan lebih awal. Ini adalah rentetan dari sambutan perayaan yang silih berganti bermula dari Tahun Baharu Cina, Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri – yang mana ia berlangsung dalam tempoh yang berdekatan.
Menerusi data yang dikongsikan juga, ia menunjukkan trend di mana terdapat peningkatan yang ketara dalam carian penginapan sempena musim perayaan.

Perkara ini dapat dilihat sewaktu bulan Ramadan pada tahun ini, carian oleh pengembara Malaysia bagi daftar masuk ke dalam platform telah meningkat lebih 200% jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya. Ini secara tidak langsung telah menunjukkan peningkatan minat dalam kalangan individu untuk melancong sepanjang tempoh bulan puasa.
Selain itu, carian sempena Hari Raya turut meningkat hampir 50%, apabila keluarga dan rakan-rakan mula merancang percutian serta pertemuan bagi mengeratkan hubungan dan meraikan perayaan bersama-sama.
Destinasi Perayaan Melangkaui Bandar Utama
Dari segi destinasi domestik, Kuala Lumpur, Johor Bahru, Ipoh dan Melaka muncul sebagai lokasi paling popular sepanjang musim perayaan.
Namun begitu, trend perjalanan turut melangkaui bandar-bandar utama, apabila negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak mencatatkan peningkatan minat sempena Hari Raya, mencerminkan tradisi balik kampung yang masih kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bagi sambutan Tahun Baharu Cina, perjalanan turut melibatkan destinasi di Malaysia Timur seperti Kuching di Sarawak dan Kota Kinabalu di Sabah, menunjukkan kepelbagaian corak perjalanan domestik merentasi wilayah.
Pada masa yang sama, rakyat Malaysia juga memanfaatkan cuti umum untuk melancong ke luar negara, dengan Tokyo dan Osaka di Jepun serta Perth di Australia menjadi antara destinasi antarabangsa paling popular.

Data Airbnb turut menunjukkan perjalanan berkumpulan dan bersama keluarga menyumbang lebih 80% daripada jumlah keseluruhan malam yang ditempah.
Tempahan bagi keseluruhan rumah pula meningkat sekitar 95% sepanjang tempoh perayaan, mencerminkan permintaan terhadap penginapan yang mampu menampung keluarga besar dan kumpulan rakan dengan lebih selesa.

Antara kemudahan yang paling banyak dicari termasuk kolam renang, mesin basuh, Wi-Fi, tempat letak kereta dan penyaman udara, yang menunjukkan pertimbangan praktikal pengguna untuk tempoh penginapan yang lebih panjang.
Secara keseluruhan, data ini menunjukkan bahawa perjalanan perayaan bukan sekadar aktiviti melancong, tetapi menjadi satu tradisi moden bagi rakyat Malaysia untuk berkumpul, berkongsi pengalaman dan meraikan detik budaya penting bersama orang tersayang.