Apa Itu ‘Brightsiding’? Ketahui Beza Antara Berfikiran Positif Dan Menidakkan Perasaan
Lina Rosli
Apabila seseorang berkongsi pengalaman sukar seperti kehilangan pekerjaan, putus hubungan atau masalah kesihatan, kebanyakan daripada kita akan cuba menenangkan mereka.
Namun tanpa sedar, ayat seperti “cuba tengok dari sudut positif” atau “sekurang-kurangnya bukan lebih teruk” boleh memberi kesan yang berbeza daripada yang diharapkan.
Tindakan ini dikenali sebagai brightsiding — satu kecenderungan memberi reaksi terlalu positif terhadap situasi yang menyakitkan, sehingga mengabaikan emosi sebenar individu tersebut.

Apa Itu Brightsiding?
Brightsiding atau lebih dikenali sebagai positiviti toksik ini merujuk kepada tabiat memberi “spin positif” dengan segera apabila seseorang berkongsi berita buruk atau pengalaman yang menyedihkan. Ia sering disertai frasa seperti:
- “Mesti ada hikmah di sebaliknya.”
- “Okaylah tu…at least tak…”
- “InshaAllah ada rezeki lain.”
Walaupun niatnya untuk memujuk, pendekatan ini boleh menjadi satu bentuk emotional invalidation atau penafian emosi. Individu yang sedang bersedih mungkin merasakan perasaan mereka tidak diiktiraf atau dianggap berlebihan.

Apa Bezanya Dengan Fikiran Positif
Positiviti toksik ini sering disalah anggap sebagai sikap positif. Hakikatnya, terdapat perbezaan yang jelas antara kedua-duanya.
Fikiran positif yang sihat tidak menafikan kesedihan, kemarahan atau kekecewaan. Sebaliknya, ia mengakui bahawa emosi tersebut adalah sebahagian daripada proses penyembuhan. Individu diberi ruang untuk merasa sebelum perlahan-lahan melihat harapan atau peluang baharu.
Sebaliknya, positiviti toksik melangkau fasa tersebut. Ia menekan individu supaya cepat “baik-baik sahaja”, walaupun mereka masih memerlukan masa untuk memproses apa yang berlaku.
Secara ringkas, fikiran positif berkata, “Saya faham ini sukar.” Namun, untuk positiviti toksik pula ia berbunyi seperti ini, “Jangan fikir yang negatif.”

Mengapa Positiviti Toksik Boleh Memberi Kesan Negatif?
Walaupun dilakukan dengan niat baik, positiviti toksik boleh menyebabkan seseorang:
- Berasa tidak difahami atau tidak didengari
- Merasakan emosi mereka tidak wajar
- Menyalahkan diri sendiri kerana masih bersedih
- Kurang selesa untuk berkongsi masalah pada masa hadapan
Dalam jangka panjang, ia boleh mewujudkan jurang emosi dalam hubungan. Individu mungkin memilih untuk memendam perasaan kerana tidak mahu dianggap terlalu sensitif atau negatif.

Hakikatnya, emosi seperti sedih, marah dan kecewa adalah reaksi normal terhadap kehilangan atau tekanan hidup.
Harus diingatkan yang mana menyuruh seseorang melihat “sisi cerah” terlalu awal boleh mengganggu proses semula jadi tersebut. Dan dari sini, individu berkenaan tidak dapat memahami atau melihat apa keadaan sebenar yang berlaku – lebih-lebih lagi untuk perkara yang melibatkan masa hadapan atau sesuatu yang boleh memudaratkan jika tidak dikenalpasti.
Cara Memberi Sokongan Tanpa Positiviti Toksik
Jika seseorang berkongsi masalah dengan anda, pendekatan yang lebih membantu adalah:
- Dengar sepenuhnya sebelum memberi respons. Elakkan tergesa-gesa memberi nasihat atau penyelesaian.
- Validasi perasaan mereka. Contohnya, “Itu memang berat untuk dilalui” atau “Saya boleh faham kenapa awak rasa begitu.”
- Tanya bagaimana anda boleh membantu. Soalan seperti “Awak perlukan nasihat atau sekadar mahu saya dengar?” menunjukkan rasa hormat terhadap keperluan emosi mereka.

Oleh sebab itu, di kebanyakan masa, memberi ruang dan empati selalunya lebih bermakna berbanding kata-kata motivasi yang umum.
Jadi, konklusinya, positiviti yang sihat bukan tentang menafikan kesedihan, tetapi tentang mengiktirafnya terlebih dahulu sebelum mencari kekuatan untuk melangkah ke hadapan.
Dalam situasi sukar, apa yang kebanyakan orang perlukan bukanlah nasihat segera, tetapi kehadiran seseorang yang benar-benar mendengar.