UNIQLO Malaysia Perkukuh Komitmen Jangka Panjang Terhadap Pemuliharaan Alam Sekitar

February 26, 2026
Gaya Hidup

Lina Rosli

UNIQLO Malaysia baru-baru ini mengumumkan yang mana mereka kekal komited dalam meneruskan kerjasama dengan Taman Tugu Malaysia dan juga Global Environment Centre (GEC) sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang terhadap perlindungan ekosistem semula jadi negara.

Berdasarkan perkongsian mereka di sebuah acara pelancaran yang dianjurkan di Taman Tugu, UNIQLO akan menyalurkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Taman Tugu Malaysia dan RM200,000 kepada GEC bagi memastikan usaha pemuliharaan dapat diteruskan secara mampan dan berimpak tinggi.

Inisiatif ini selari dengan misi UNIQLO untuk menjadikan kehidupan seharian lebih baik, bukan sahaja melalui pakaian LifeWear yang praktikal, tetapi juga melalui sumbangan bermakna kepada masyarakat dan alam sekitar.

Dana Daripada Beg Kertas RM0.30 Disalurkan Kepada Alam Sekitar

Bukan itu sahaja, usaha pemuliharaan ini disokong melalui caj RM0.30 bagi setiap beg kertas yang diperkenalkan sejak tahun 2020. Beg membeli-belah yang diperbuat daripada kertas diperakui FSC itu bukan sekadar alternatif mesra alam, malah hasil kutipannya disalurkan terus kepada program pemuliharaan di seluruh Malaysia.

Antara inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan termasuk pemuliharaan hutan di Taman Tugu, rehabilitasi paya bakau bersama GEC serta projek penanaman semula hutan sebelum ini bersama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Fasa 2 Projek Rehabilitasi Paya Bakau Di Mersing

Melalui kerjasama lanjutan bersama GEC, UNIQLO menyokong Fasa 2 projek rehabilitasi paya bakau berasaskan komuniti di Kampung Tenglu Laut, Mersing, Johor yang dimulakan pada tahun 2025. Projek ini dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Daerah Mersing serta komuniti KomPAS (Komuniti Pelindung Alam Sekitar).

Fasa 2 merangkumi kerja penyediaan tapak, penanaman baharu, penyelenggaraan dan pemantauan berterusan.

Ia juga melibatkan penambahbaikan serta lanjutan 50 meter pemecah ombak daripada Fasa 1, selain pemulihan satu hektar hutan paya bakau.

Sumbangan RM200,000 daripada UNIQLO turut membolehkan peluasan konservasi kepada tambahan satu hektar kawasan paya bakau.

Sebelum ini, Fasa 1 berjaya memasang pemecah ombak sepanjang 100 meter dan menanam 2,000 pokok bakau dengan kadar kelangsungan hidup melebihi 80 peratus termasuk penanaman gantian. Penanaman bagi Fasa 2 dijangka siap menjelang pertengahan 2026.

Mendekatkan Komuniti Bandar Dengan Alam Semula Jadi

Selain projek pesisir pantai, kerjasama UNIQLO bersama Taman Tugu Malaysia kini memasuki tahun kelima. Fokusnya adalah untuk membawa pemuliharaan hutan ke dalam kehidupan bandar melalui program komuniti yang mesra keluarga dan mudah diakses.

Bagi tempoh Februari 2026 hingga Januari 2027, beberapa inisiatif berulang akan dilaksanakan di Nurseri Taman Tugu:

  • UNIQLO – Taman Tugu Plant Giveaway yang diadakan dua kali sebulan dengan agihan 3,000 anak pokok setiap tahun.
  • Program pendidikan Plant & Hunt yang menyasarkan sehingga 720 kanak-kanak setahun melalui aktiviti eksplorasi biodiversiti.
  • Siri Eco-Workshop baharu yang memberi pembelajaran praktikal berkaitan kelestarian kepada kira-kira 300 peserta setahun termasuk pelajar sekolah.

Menurut Fizulin Mohamed Zin, wakil Taman Tugu Project Development Sdn. Bhd. bagi pihak Amanah Warisan Negara, hutan bandar hanya dapat berkembang apabila masyarakat merasakan hubungan dan tanggungjawab terhadapnya. Program yang konsisten membantu membina kesedaran serta rasa memiliki terhadap alam sekitar.

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif kelestarian UNIQLO Malaysia, layari laman rasmi mereka di www.uniqlo.com/my.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd