Lindungi Kesihatan Usus Untuk Kekal Selesa Sepanjang Ramadan
Lina Rosli
Sepanjang Ramadan, ramai menanti saat berbuka dengan pelbagai juadah enak di atas meja.
Namun, tahukah anda selepas berjam-jam menahan lapar dan dahaga, makan secara berlebihan boleh mengundang ketidakselesaan seperti perut kembung, pedih ulu hati dan sembelit.
Situasi ini bukan sesuatu yang luar biasa, malah sering berlaku apabila corak pemakanan berubah secara mendadak dalam tempoh sebulan berpuasa.

Menurut Dr Sheikh Anwar Abdullah, Pakar Perubatan Gastroenterologi dan Hepatologi di Pusat Perubatan Sunway, Ramadan sebenarnya boleh menjadi peluang terbaik untuk “reset” kesihatan usus sekiranya dimanfaatkan dengan betul.
Dan apabila seseorang individu itu berpuasa, sistem pencernaan berehat dan badan menghasilkan kurang asid – yang mana ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan keradangan.
Namun, harus diingatkan yang mana, manfaat ini boleh terjejas sekiranya seseorang makan secara berlebihan ketika iftar serta mengabaikan pengambilan air dan serat yang mencukupi.

Apa Yang Menyebabkan Keradangan Ketika Ramadan?
Peningkatan masalah penghadaman sepanjang bulan Ramadan lazimnya berpunca daripada perubahan mendadak dalam corak pemakanan dan gaya hidup harian.
Selepas berjam-jam berpuasa, ramai yang cenderung mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak, khususnya hidangan berat, pedas dan berlemak ketika berbuka. Keadaan ini memberi beban mengejut kepada sistem penghadaman yang sebelum itu berehat – dan inilah punca yang menyebabkan perut kembung, pedih ulu hati atau rasa tidak selesa.
Dalam masa yang sama, pengambilan air yang tidak mencukupi antara waktu berbuka hingga sahur turut menyumbang kepada masalah sembelit.
Tidak hanya itu, perubahan corak tidur, seperti tidur lewat dan bangun awal untuk sahur, juga boleh mengganggu ritma semula jadi tubuh termasuk pergerakan usus.
Apabila tubuh kurang aktif dan lebih banyak berehat selepas berbuka, proses penghadaman menjadi lebih perlahan, menjadikan rasa ‘berat’ dan tidak selesa semakin ketara.

Oleh itu, dalam konteks ini, sahur memainkan peranan penting bagi menjalani hari yang panjang sewaktu berpuasa. Sekiranya individu meninggalkan sahur dan membiarkan perut kosong seharian, ia sememangnya akan memberikan kesan negatif kepada individu.
Pemilihan Menu Sahur Dan Berbuka Yang Bersesuaian
Bagi memastikan sistem penghadaman kekal selesa sepanjang Ramadan, pemilihan menu sahur memainkan peranan yang penting.
Sahur yang seimbang bukan sekadar mengenyangkan, tetapi perlu membantu tubuh membebaskan tenaga secara perlahan dan menyokong fungsi usus sepanjang hari berpuasa.
Justeru, pengambilan karbohidrat kompleks seperti oat atau beras perang digalakkan kerana ia dicerna dengan lebih perlahan dan membantu mengekalkan rasa kenyang lebih lama. Sumber protein seperti telur, ikan atau tauhu pula menyokong pembaikan sel dan memberi rasa kenyang yang lebih stabil, manakala buah-buahan tinggi kandungan air seperti tembikai dan timun membantu mengekalkan hidrasi serta melancarkan pergerakan usus.

Selain itu, yogurt yang mengandungi probiotik boleh menyokong keseimbangan bakteria baik dalam usus– yang mana ia dikatakan dapat membantu mengurangkan risiko sembelit atau kembung bagi individu yang tidak mempunyai intoleransi laktosa.
Dalam masa yang sama, makanan pedas dan berminyak wajar dielakkan ketika sahur kerana ia boleh merangsang penghasilan asid perut dan meningkatkan risiko pedih ulu hati, terutama apabila perut dibiarkan kosong untuk tempoh yang panjang.
Ketika berbuka pula, pendekatan yang lebih berperingkat adalah lebih mesra sistem penghadaman. Selepas seharian berpuasa, perut berada dalam keadaan sensitif, maka memulakan iftar dengan air kosong dan beberapa biji kurma memberi ruang kepada tubuh untuk menyesuaikan diri sebelum menerima hidangan yang lebih berat.
Berhenti seketika sebelum menikmati makanan utama membantu mengelakkan pengambilan secara berlebihan dalam satu masa.
Selain itu, amalan moreh selepas solat tarawih juga perlu dilakukan secara berpada-pada. Memberi jarak dua hingga tiga jam antara waktu makan terakhir dan waktu tidur dapat mengurangkan risiko refluks asid serta memastikan tubuh mempunyai masa yang mencukupi untuk mencerna makanan dengan lebih baik.

Badan Juga Perlukan Air Yang Cukup Ketika Berpuasa
Selain pemilihan makanan, aspek pengambilan air juga turut tidak kurang pentingnya. Ini kerana, apabila badan tidak mendapat air yang mencukupi, individu akan cenderung mengalami sembelit – dan ini merupakan antara kes yang paling kerap dialami oleh rata-rata individu.
Apabila tubuh kekurangan cecair, najis akan menjadi lebih keras dan pergerakan usus akan menjadi lebih perlahan dan ini secara tidak langsung mengakibatkan tubuh menjadi tidka selesa dan mudha kembung.
Oleh yang demikian, pastikan anda kekal hidrasi dan mendapatkan kuantiti air yang disarankan.
Kebanyakan pakar akan menyarankan yang mana individu perlu mendapatkan sekurang-kurangnya dua setengah liter air mineral dalam tempoh antara iftar ke sahur. Dan anda juga dicadangkan untuk tidak meminum pada satu-satu tempoh masa sahaja – sebaliknya, anda perlu boleh mengambilnya secara berperingkat bagi tujuan tubuh dapat betul-betul menyerap dan memanfaatkannya.

Dalam masa yang sama, terdapat golongan tertentu yang perlu lebih berhati-hati ketika berpuasa, khususnya individu yang mempunyai masalah penghadaman seperti ulser duodenum, pendarahan gastrik atau sirosis hati sederhana hingga teruk.
Bagi mereka yang mengambil ubat gastrik, pengambilan ubat sekitar 30 minit sebelum sahur lazimnya disarankan bagi memastikan kesan perlindungan yang optimum sepanjang tempoh berpuasa.
Namun begitu, sekiranya seseorang mengalami gejala seperti sakit perut berterusan, muntah, cirit-birit atau tanda pendarahan, pemeriksaan perubatan perlu dilakukan segera dan individu tersebut tidak seharusnya memaksa diri untuk terus berpuasa tanpa nasihat doktor.