5 Menu Telur Mudah Dan Berkhasiat – Idea Sarapan Hingga Makan Malam Ringkas Di Rumah

February 27, 2026
Makanan & Minuman

Lina Rosli

Telur sering dianggap sebagai bahan asas di dapur, namun potensinya jauh lebih besar daripada sekadar lauk ringkas.

Dengan teknik yang betul, telur boleh diolah menjadi pelbagai hidangan sesuai untuk sarapan, makan tengah hari mahupun makan malam ringan. Ia juga kaya dengan protein dan mudah dipadankan dengan bahan lain untuk menghasilkan sajian yang seimbang.

Berikut lima menu telur yang mudah disediakan di rumah, lengkap dengan cadangan padanan hidangan untuk menjadikannya lebih lengkap dan mengenyangkan.

#1 Omelet Sayur Dan Keju

Omelet ialah antara hidangan telur paling popular kerana penyediaannya ringkas dan boleh diubah suai mengikut cita rasa.

Untuk menyediakannya, anda hanya perlu pukul telur bersama sedikit susu, garam dan lada hitam sebelum dimasak di dalam kuali. Tambahkan sayur seperti bawang besar, cili benggala, bayam atau tomato bagi meningkatkan kandungan serat dan nutrisi.

Melengkapkan hidangan adalah keju yang akan memberi rasa lebih berkrim dan menyelerakan.

Untuk menu ini, ia sesuai dipadankan bersama bersama roti gandum bakar dan salad segar. Untuk pilihan lebih mengenyangkan, boleh ditambah kentang panggang atau sosej ayam sebagai menu brunch yang lengkap.

#2 Poached Egg Atas Roti

Poached egg atau telur rebus tanpa kulit memberi tekstur putih telur yang lembut dengan kuning yang cair di tengah.

Teknik ini memerlukan air yang mendidih perlahan dan sedikit cuka untuk membantu putih telur membentuk dengan baik.

Telur yang telah siap boleh diletakkan di atas roti bakar yang disapu avokado lenyek atau mentega. Apabila dipotong, kuning telur yang mengalir menambah rasa lemak semula jadi tanpa memerlukan sos tambahan.

Bagi hidangan telur ini, ia sesuai digandingkan dengan salad hijau, tomato ceri atau hirisan salmon salai untuk hidangan lebih seimbang dan moden.

#3 Telur Hancur Berkrim (Scrambled Egg)

Telur hancur menjadi pilihan ramai kerana teksturnya lembut dan mudah dimakan oleh semua peringkat umur. Untuk mendapatkan hasil yang berkrim, telur perlu dimasak menggunakan api kecil sambil dikacau perlahan tanpa henti.

Tips penyediaannya, anda boleh pukul telur bersama sedikit mentega atau susu – bagi menghasilkan rasa lebih kaya. Elakkan memasak terlalu lama agar tekstur tidak menjadi kering.

Untuk menu telur hancur ini, adalah lebih sedap jika dimakan bersama roti bakar, cendawan tumis dan tomato panggang. Untuk gaya tempatan, ia juga enak dijadikan inti sandwich atau dimakan bersama roti canai kosong.

#4 Telur Mata Dengan Kicap Dan Cili

Telur mata merupakan pilihan paling mudah dan cepat disediakan. Kebiasaannya, untuk telur ini, lebih sedap jika kuningnya boleh dibiarkan separuh masak.

Kemudian, tambahkan kicap dan hirisan cili merah bagi memberi sentuhan rasa tempatan yang lebih menyelerakan.

Sudah tentu untuk hidangan ini, ia sangat sesuai dimakan bersama nasi panas dan sambal. Ia juga boleh dijadikan pelengkap kepada mi goreng atau nasi goreng sebagai tambahan protein.

#5 Mufin Telur Bakar

Mufin telur bakar sesuai untuk mereka yang ingin menyediakan makanan lebih awal, terutama sebagai bekal ataupun ia juga sesuai sebagai hidangan tambahan seperti dessert.

Untuk menyediakannya, anda boleh pukul telur dan tuangkannya ke dalam acuan mufin sebelum ditambah bahan seperti ayam cincang, bayam, jagung atau keju. Ia kemudian dibakar sehingga masak dan boleh disimpan di dalam peti sejuk untuk beberapa hari.

Menu ini juga boleh dihidangkan bersama sup krim cendawan atau salad kentang. Ia juga praktikal sebagai sarapan segera sebelum memulakan hari.

Secara keseluruhan, telur ialah bahan yang versatil dan sesuai dijadikan asas pelbagai hidangan.

Dengan teknik yang mudah dan padanan yang tepat, ia mampu menjadi sajian lengkap yang bukan sahaja menyelerakan, malah berkhasiat dan menjimatkan masa di dapur.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd