9 Rempah Anti-Radang Yang Boleh Ditambah Dalam Masakan Harian
Lina Rosli
Keradangan atau inflamasi merupakan tindak balas semula jadi tubuh terhadap jangkitan, kecederaan atau tekanan.
Namun, apabila ia berlaku secara berpanjangan, keradangan kronik boleh meningkatkan risiko pelbagai masalah kesihatan seperti diabetes, artritis dan gangguan usus.
Selain mengawal pemakanan secara keseluruhan, penggunaan rempah ratus tertentu dalam masakan harian juga boleh membantu mengurangkan inflamasi.

Menariknya, rempah-rempah ini bukan sahaja menyumbang kepada kesihatan usus, malah memberi lonjakan rasa yang lebih seimbang tanpa perlu bergantung kepada garam berlebihan yang dikaitkan dengan peningkatan inflamasi.
Berikut ialah sembilan rempah yang sering disarankan oleh pakar pemakanan yang boleh anda masukkan ke dalam makanan ruji anda.
#1 Kayu Manis
Kayu manis merupakan antara rempah paling popular dalam minuman dan pencuci mulut.
Terdapat dua jenis utama iaitu Ceylon dan cassia, namun jenis cassia yang lebih mudah ditemui di pasaran mengandungi sebatian semula jadi dipanggil coumarin yang dikaitkan dengan kesan anti-radang.
Kajian menunjukkan kayu manis berpotensi membantu mengurangkan inflamasi dalam kalangan individu dengan diabetes, artritis dan kolitis. Ia boleh ditambah dalam teh, oat, puding chia atau minuman epal panas untuk manfaat yang lebih menyeluruh.

#2 Halia
Halia pula terkenal sebagai bahan tradisional yang digunakan untuk melegakan loya dan kembung perut.
Apabila halia dikeringkan atau dipanaskan, ia menghasilkan sebatian bioaktif dipanggil shogaol yang memberikan rasa pedasnya serta membantu menghalang penghasilan bahan kimia pro-radang seperti prostaglandin dan sitokin.
Halia kering sesuai dijadikan teh, dimasukkan ke dalam sup atau digunakan sebagai perapan ikan dan ayam.

#3 Cengkih
Cengkih mengandungi eugenol, sebatian yang turut dikenali sebagai minyak cengkih dan sering digunakan dalam rawatan pergigian kerana kesan melegakan kesakitan.
Eugenol mempunyai sifat anti-radang dan antioksidan yang membantu mengurangkan tekanan oksidatif dalam badan. Dalam masakan, cengkih boleh digunakan dalam hidangan berempah atau campuran rempah kari bagi menambah aroma yang lebih mendalam.

#4 Biji Ketumbar
Biji ketumbar, iaitu biji daripada daun ketumbar, kaya dengan polifenol yang membantu mengurangkan inflamasi. Ia sering digunakan dalam campuran rempah untuk masakan Asia.
Menggantikan daun ketumbar segar dengan biji ketumbar kering dalam sesetengah resipi boleh memberikan rasa yang lebih hangat dan berempah.

#5 Biji Lada Hitam
Lada hitam pula mengandungi piperine, sebatian aktif yang bukan sahaja mempunyai sifat anti-radang, malah membantu meningkatkan penyerapan curcumin daripada kunyit.
Piperine juga didapati boleh mengurangkan kesakitan berkaitan artritis. Menggabungkan sedikit lada hitam bersama garam dalam masakan harian boleh membantu menyeimbangkan rasa tanpa perlu menambah natrium secara berlebihan.

#6 Buah Pala
Buah pala mungkin lebih sinonim dengan hidangan perayaan, namun minyaknya bertindak sebagai penghalang enzim COX-2 yang terlibat dalam proses inflamasi, sama seperti ubat anti-radang bukan steroid.
Sebatian seperti sabinene, terpineol dan pinene dalam buah pala menyumbang kepada kesan ini. Taburan kecil dalam minuman coklat panas atau kuih bakar sudah memadai untuk menambah aroma serta manfaat kesihatan.

#7 Jintan Manis
Jintan manis atau cumin pula dikaitkan dengan keupayaan menekan isyarat pro-radang dalam tubuh. Isyarat ini merupakan sistem komunikasi dalaman yang boleh mencetuskan bengkak dan rasa sakit apabila berlebihan.
Jika di dalam hidangan harian, jintan sering digunakan dalam kari, nasi berempah dan hidangan Timur Tengah, menjadikannya pilihan praktikal untuk diet harian.

#8 Cili Merah
Cili merah atau cayenne pepper mengandungi capsaicin, sebatian yang memberi rasa pedas serta mempengaruhi reseptor kesakitan dalam badan.
Capsaicin mempunyai sifat anti-radang, namun penggunaannya perlu berpada-pada kerana pengambilan berlebihan boleh menyebabkan ketidakselesaan perut. Sedikit cili dalam sambal, sup atau perapan sudah cukup untuk memberikan rasa pedas yang seimbang.

#9 Bawang Putih
Akhir sekali, bawang putih merupakan antara bahan asas dalam kebanyakan masakan tempatan.
Kandungan allicin di dalamnya dikaitkan dengan keupayaan mengurangkan tindak balas inflamasi tubuh. Selain manfaat kesihatan, bawang putih juga meningkatkan profil rasa hampir semua jenis hidangan, daripada tumisan sayur hingga sos perapan.

Secara umumnya, menggabungkan pelbagai jenis rempah dalam diet harian adalah pendekatan yang lebih baik berbanding mengambil satu bahan dalam kuantiti besar. Kepelbagaian membantu menyokong kesihatan secara menyeluruh, termasuk kesihatan usus dan sistem imun.
Dalam konteks gaya hidup moden yang cenderung kepada makanan tinggi garam dan diproses, kembali kepada penggunaan rempah ratus tradisional bukan sahaja memperkayakan rasa, malah memberi manfaat jangka panjang kepada tubuh.