Minum Air Ketika Makan – Bantu Atau Ganggu Sistem Penghadaman?
Lina Rosli
Minum air kosong ketika makan mungkin kelihatan seperti perkara kecil, tetapi ia sering menjadi perdebatan dalam dunia kesihatan. Ada yang berpendapat air boleh mengganggu proses penghadaman kerana dikatakan mencairkan enzim dalam perut – yang mana ini memberi kesan kepada proses penghadaman makanan.
Dalam masa yang sama, terdapat juga pandangan bahawa mengambil air sebelum atau semasa makan boleh membantu seseorang berasa kenyang dengan lebih cepat dan seterusnya mengawal saiz hidangan.

Dengan pelbagai pendapat yang berbeza ini, persoalannya timbul: adakah minum air ketika makan sebenarnya menyokong sistem penghadaman, atau sekadar mitos yang disalahertikan?
Air Dan Proses Penghadaman – Apa Yang Berlaku Sebenarnya?
Secara umum, keperluan hidrasi harian yang disarankan ialah sekitar dua liter air sehari, bersamaan kira-kira lapan gelas.
Ini kerana air merupakan elemen penting untuk tubuh yang mana ia diperlukan oleh hampir semua fungsi tubuh termasuk peredaran darah, kawalan suhu dan juga sistem penghadaman.

Menurut pakar perubatan, minum air secara perlahan (bukan meneguk dalam jumlah banyak sekali minum) ketika makan tidak akan mengganggu proses penghadaman. Makanan yang ditelan tetap akan melalui esofagus ke perut, di mana enzim penghadaman dan asid gastrik akan menjalankan fungsinya seperti biasa. Air hanya membantu melembutkan makanan dan memudahkan pergerakannya dalam saluran penghadaman.
Malah, dari sudut praktikal, kehadiran air membantu memastikan sistem penghadaman “bergerak lancar”. Tanpa cecair yang mencukupi, proses pencernaan boleh menjadi kurang efisien dan meningkatkan risiko sembelit.
Adakah Air Membuatkan Kita Cepat Kenyang?
Tidak dinafikan, sebahagian individu memilih untuk minum air sebelum waktu makan sebagai langkah mengawal selera. Amalan ini bukan sekadar trend, malah mempunyai rasional tertentu dari sudut fisiologi.
Pengambilan air boleh membantu meningkatkan rasa kenyang kerana ia menambah isipadu dalam perut. Apabila perut mula meregang, isyarat akan dihantar ke otak bahawa badan sedang menerima makanan. Proses ini boleh membuatkan seseorang lebih cepat menyedari rasa kenyang dan secara tidak langsung mengurangkan kecenderungan untuk makan secara berlebihan.
Namun begitu, minum air bukanlah penyelesaian utama untuk penurunan berat badan. Ia lebih sesuai dilihat sebagai pendekatan tambahan yang membantu kawalan saiz hidangan dan menyokong tabiat pemakanan yang lebih seimbang.
Walaupun kebanyakan individu boleh minum air ketika makan tanpa masalah, terdapat beberapa keadaan yang memerlukan perhatian.

Individu yang mengalami masalah gastrousus seperti Gastroesophageal Reflux Disease atau Gastroesophageal Reflux Disease (GERD) mungkin perlu mengehadkan pengambilan air semasa makan. Gabungan makanan dan cecair boleh meningkatkan tekanan dalam abdomen yang mana ia boleh memburukkan gejala refluks seperti pedih ulu hati.
Selain itu, mereka yang baru menjalani pembedahan gastrik juga disarankan untuk mengasingkan waktu minum dan makan. Minum air ketika makan boleh menyebabkan rasa kenyang terlalu cepat dan menjejaskan jumlah nutrien yang sepatutnya diambil.
Bagi individu yang kurang minum air sepanjang hari, pakar turut menasihatkan agar tidak meminum air secara banyak sekaligus pada satu-satu sesi makan. Pengambilan air sebaiknya diagihkan secara konsisten sepanjang hari untuk memastikan tahap hidrasi stabil.

Secara umumnya, pengambilan air dalam jumlah sederhana ketika makan tidak menjejaskan fungsi sistem penghadaman. Sebaliknya, ia boleh membantu melembutkan makanan dan memudahkan pergerakannya dalam saluran penghadaman, selain menyokong mekanisme rasa kenyang secara semula jadi.
Dan harus diingatkan bahawa, setakat ini, dakwaan bahawa air akan boleh mengganggu fungsi enzim penghadaman sehingga mengganggu proses pencernaan masih lagi tidak mempunyai sokongan bukti saintifik yang kukuh.
Namun begitu, pendekatan terbaik tetap bergantung kepada keadaan kesihatan individu. Jika anda tidak mempunyai masalah gastrousus atau sejarah pembedahan perut, menikmati segelas air bersama hidangan bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan.
Yang lebih penting, pastikan pengambilan air mencukupi sepanjang hari, bukan hanya ketika waktu makan.