Babyshop Malaysia Memperkenalkan Koleksi Ramadan 2026 “Timeless Elegance” Untuk Si Kecil
Lina Rosli
Sudahkah anda memulakan persiapan baju raya untuk Syawal ini? Jika belum, Babyshop Malaysia baru-baru ini hadir dengan koleksi Ramadan 2026 bertemakan “Timeless Elegance”, yang direka khas untuk bayi dan kanak-kanak berusia daripada 0 hingga 8 tahun.
Koleksi ini mengetengahkan gabungan gaya perayaan yang elegan dengan keselesaan harian, membolehkan si kecil tampil kemas dan bergaya sepanjang Ramadan serta Hari Raya Aidilfitri.

Pada masa sama, pakaian yang direka juga memberi ruang pergerakan yang selesa untuk kanak-kanak bermain, bergerak aktif dan menikmati detik bersama keluarga ketika berbuka puasa atau kunjung-mengunjung.
Antara fokus utama koleksi ini ialah penggunaan fabrik berkualiti dan perincian halus. Bahan seperti tweed, bouclé dan rajutan lembut digunakan bagi memberikan tekstur yang menarik pada rekaan, manakala potongan pakaian direka supaya sesuai dengan iklim Malaysia serta selesa dipakai sepanjang hari.

Bagi kanak-kanak perempuan berusia 0 hingga 8 tahun, warna utama yang diketengahkan ialah Rose, iaitu gabungan rona burgundy dan merah jambu yang memberikan penampilan meriah tetapi masih kelihatan lembut.
Warna ini turut dipadankan dengan rona klasik seperti krim dan putih, serta sentuhan emas dan perak bagi menambah elemen elegan. Koleksi ini turut menampilkan gaun labuh dengan struktur lembut termasuk rekaan skuba, selain pilihan set pakaian sepadan untuk adik-beradik yang memudahkan keluarga tampil serasi ketika musim perayaan.

Untuk kanak-kanak lelaki pula, koleksi ini menampilkan gaya yang kemas tetapi santai. Antara yang diketengahkan termasuk kemeja twill premium dan polos yang memberikan siluet lebih rapi berbanding fabrik jersi biasa, namun masih selesa dipakai oleh kanak-kanak yang aktif.
Rekaan pakaian turut mengambil inspirasi daripada elemen nautika, tona tanah serta tekstur artisan yang memberi pilihan gaya moden kepada ibu bapa ketika menggayakan anak-anak mereka.

Selain pakaian untuk majlis, Babyshop turut memperkenalkan Koleksi Baju Tidur Aidilfitri untuk kanak-kanak. Pakaian tidur ini menggunakan fabrik lembut dan bernafas, dihiasi renda serta sulaman halus yang memberikan sentuhan perayaan ketika bersahur atau ketika anak-anak membuat persiapan pada pagi Hari Raya.
Bukan itu sahaja, sepanjang Ramadan juga, pelanggan berpeluang menerima sampul Raya eksklusif dan beg tote Babyshop dengan setiap pembelian selagi stok masih ada.