Mengapa Berat Badan Tidak Turun Walaupun Sudah Berpuasa?

March 10, 2026
Gaya Hidup

Lina Rosli

Setiap kali tibanya bulan Ramadan, ramai yang menganggap tempoh berpuasa lebih 13 jam sehari secara automatik akan membantu menurunkan berat badan.

Jika dilihat secara kasar, ia mungkin kelihatan logik. Ini kerana, ramai beranggapan, bila tempoh makan semakin singkat, kalori yang diambil juga sepatutnya berkurang. Namun realitinya tidak semudah itu.

Dalam kes lain juga, ada juga yang memilih untuk berbuka secara sangat sederhana. Bila azan Maghrib berkumandang, mereka hanya menjamah seketul kuih bersama segelas air ais manis. Selepas itu, tiada lagi hidangan berat walaupun selepas solat tarawih. Tetapi apabila menimbang berat badan pada hujung minggu, jarum penimbang masih tidak berganjak ke bawah, malah kadangkala meningkat.

Situasi ini sebenarnya bukan sesuatu yang luar biasa. Ramai tidak sedar bahawa badan manusia tidak berfungsi seperti kalkulator yang sekadar menolak kalori yang tidak dimakan.

Hakikatnya, cara badan bertindak balas terhadap perubahan corak makan sebenarnya yang memainkan peranan penting.

Mengapa Berat Badan Tidak Turun Walaupun Sudah Berpuasa?

Apabila seseorang makan terlalu sedikit ketika berbuka, tubuh boleh memasuki keadaan yang sering dipanggil sebagai “starvation mode”. Dalam keadaan ini, badan menganggap bekalan tenaga sedang berkurangan secara mendadak.

Otak kemudian memberi isyarat kepada tubuh untuk memperlahankan kadar metabolisme supaya tenaga dapat disimpan lebih lama. Akibatnya, setiap makanan yang masuk selepas itu lebih mudah disimpan sebagai lemak kerana badan cuba menyimpan “tenaga kecemasan”.

Selain itu, ramai juga tidak perasan akan kehadiran kalori daripada minuman. Walaupun tidak mengambil nasi atau makanan berat, segelas air sirap bandung, teh ais atau jus buah yang manis sebenarnya mengandungi kandungan gula yang tinggi.

Kalori daripada gula cecair ini mudah diserap oleh badan dan boleh ditukar kepada simpanan lemak, terutama jika diambil ketika perut kosong selepas seharian berpuasa.

Satu lagi perkara yang sering berlaku ialah penyusutan otot, bukannya lemak. Jika tubuh tidak mendapat protein yang mencukupi ketika sahur dan berbuka, badan akan mencari sumber tenaga lain. Dalam keadaan ini, tisu otot boleh dipecahkan untuk menghasilkan tenaga.

Apabila jisim otot berkurangan, kadar metabolisme juga akan menjadi lebih perlahan kerana otot sebenarnya membantu badan membakar lebih banyak kalori.

Disebabkan itu, berbuka puasa secara terlalu sedikit bukanlah strategi yang baik untuk menurunkan berat badan. Sebaliknya, tubuh memerlukan pemakanan yang seimbang supaya metabolisme terus berfungsi dengan baik sepanjang Ramadan.

Apakah Cara Yang Betul Untuk Menurunkan Berat Badan?

Jawapannya, cara yang lebih sesuai ialah memulakan berbuka dengan segelas air kosong dan dua biji kurma bagi membantu tubuh menyesuaikan diri selepas seharian berpuasa.

Selepas itu, ambil hidangan lengkap dalam saiz sederhana yang mengandungi sumber protein seperti ayam atau ikan, bersama karbohidrat dan sayur-sayuran. Pada masa yang sama, kurangkan minuman manis berwarna yang biasanya tinggi kandungan gula.

Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengekalkan tenaga sepanjang malam, malah menyokong metabolisme supaya badan dapat membakar tenaga dengan lebih berkesan.

Jadi, jika sepanjang Ramadan anda berpuasa penuh tetapi berat badan masih tidak berubah, mungkin sudah tiba masanya untuk melihat semula cara berbuka yang diamalkan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd