Trend Baju Raya 2026 : Ini Warna-Warna Paling Trending Tahun Ini
Bat
Aidilfitri telah pun berlangsung selama lebih daripada seminggu sejak syawal pertama pada 21 Mac lalu. Seperti kebiasaan, sambutan Raya dimeriahkan dengan kunjungan keluarga dan sanak saudara, di samping pelbagai juadah tradisional seperti rendang, lemang serta aneka kuih-muih yang menjadi pelengkap suasana.
Selain hidangan, pemakaian juga memainkan peranan penting dalam menceriakan suasana Hari Raya. Tahun 2026 ini menyaksikan perubahan menarik dalam trend fesyen, di mana ramai tidak lagi terikat dengan satu tona warna sahaja. Sebaliknya, gabungan dua warna (dual-tone) menjadi pilihan utama bagi menyerlahkan gaya yang lebih moden dan berani.
Berikut antara tema warna yang paling menonjol dan popular sepanjang Raya tahun ini.
#1 Matcha Strawberi
Gabungan warna merah jambu lembut dengan hijau pastel ini menjadi antara pilihan paling popular, khususnya dalam kalangan Gen Z. Kombinasi ini tampak segar, ceria dan “pop-up“, sesuai untuk mereka yang ingin tampil berbeza. Bagi wanita, kebaya nyonya sering menjadi pilihan dengan padanan baju merah jambu dan juga kain hijau. Manakala bagi lelaki, baju Melayu berwarna hijau dipadankan dengan samping berwarna merah jambu memberi sentuhan moden yang unik.


#2 Coklat pekat
Tona coklat pekat (rich brown) semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Malaysia kerana tampil lebih matang, elegan dan versatil. Warna ini juga mudah dipadankan dengan pelbagai warna lain seperti beige, krim atau emas untuk menaikkan seri keseluruhan gaya. Selain itu, coklat pekat memberikan aura klasik dan eksklusif, sesuai untuk mereka yang gemarkan gaya minimal tetapi tetap nampak mahal.

#3 Puding Strawberi
Tema ini menggabungkan warna merah jambu lembut dengan kuning pastel, menghasilkan penampilan yang manis dan lembut. Kombinasi ini sesuai untuk mereka yang ingin tampil feminin dan ceria tanpa terlalu menyerlah.
Ia juga sangat sesuai digayakan oleh individu dengan tona kulit cerah hingga sederhana kerana mampu menyerlahkan seri wajah serta memberikan wajah yang lebih segar dan muda.

#4 Biru Teal
Biru teal, iaitu gabungan biru dan hijau gelap menjadi pilihan bagi mereka yang ingin tampil lebih berani tetapi masih mengekalkan elemen elegan. Warna ini memberikan keseimbangan antara moden dan klasik. Ia juga sesuai digayakan oleh pelbagai tona kulit dan sering dipadankan dengan eksesori perak atau kelabu untuk menambahkan sentuhan ekskusif.

#5 Hijau Sage
Hijau sage terus menjadi kegemaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan masih kekal relevan pada Raya 2026. Warna hijau lembut ini memberikan aura tenang dan minimal. Ia sesuai untuk mereka yang gemarkan gaya kemas dan besih, serta mudah dipadankan dengan warna neutral seperti putih, krim atau nude.

#6 Biru Laut
Navy blue atau biru laut merupakan warna klasik yang tidak lapuk dek zaman. Tahun ini, ia kembali popular dengan sentuhan moden melalui potongan pakaian yang lebih kontemporari. Warna ini sesuai untuk semua peringkat umur kerana memberikan penampilan yang kemas, matang dan versatil – sama ada untuk lelaki mahupun wanita.

#7 Merah Jambu Berdebu
Gabungan merah jambu berdebu, atau lebuh dikenali sebagai dusty pink menjadi pilihan bagi mereka yang menggemari gaya lembut dan elegan. Warna ini memberikan sentuhan romantik dan sangat sesuai untuk suasana Raya yang penuh dengan kehangatan keluarga. Selain itu, tona ini juga mudah dipadankan dengan pelbagai jenis fabrik dan potongan, menjadikannya pilihan selamat tetapi tetap bergaya.

Secara keseluruhannya, trend pakaian Raya 2026 tahun ini lebih berani bereksperimen dengan warna dan kombinasi, berbanding tahun-tahun sebelumnya yang lebih cenderung kepada satu tona sahaja. Pemilihan warna kini bukan sekadar mengikut trend, tetapi juga menjadi medium untuk mengekspresikan personaliti masing-masing.