Atasi Lingkaran Gelap Dengan Laura Mercier Secret Brightening Under Eye Setting Powder – Berharga RM179
Lina Rosli
Laura Mercier, baru-baru ini terus memperkukuh rangkaian solekan wajah dengan memperkenalkan Secret Brightening Under Eye Setting Powder, ditawarkan pada harga RM179.
Produk ini direka khusus untuk menetapkan concealer di bawah mata sambil memberikan kesan pencerahan segera, menjadikan kawasan bawah mata kelihatan lebih segar dan halus.

Diformulasikan dengan tekstur yang sangat halus dan ringan, bedak ini membantu meratakan kawasan bawah mata tanpa menambah rasa berat. Ia turut mengandungi pigmen pengimbang warna yang berfungsi mengurangkan penampilan lingkaran gelap dan bayang-bayang, sekaligus menghasilkan kemasan yang lembut dan sedikit bercahaya.
Menurut Laura Mercier juga, produk ini dirumus dengan kandungan mesra kulit yang membantu produk ini menyatu dengan baik, memastikan concealer kekal pada tempatnya untuk tempoh yang lebih lama tanpa kelihatan bercapuk atau berkedut.
Hasilnya, kawasan bawah mata tampak lebih segar dengan concealer yang kelihatan lebih sebati, licin dan bebas garis sepanjang hari. Ini menjadikannya pilihan sesuai bagi mereka yang ingin mendapatkan kemasan solekan yang lebih kemas dan semula jadi, khususnya di bahagian bawah mata yang mudah menunjukkan tanda keletihan.

Dari segi penggunaan, teknik yang disarankan bermula dengan mengambil sedikit produk menggunakan berus khas, kemudian mengetuk lebihan pada belakang tangan untuk mengelakkan penggunaan berlebihan. Seterusnya, bedak ditekan dan digulung secara lembut di bawah mata bagi menetapkan concealer.
Bagi yang berminta, Secret Brightening Under Eye Setting Powder ini akan ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Translucent, Soft Pink dan Peach. Ia boleh didapati bermula 1 Jun di Sephora, serta di butik Laura Mercier termasuk di Pavilion Kuala Lumpur, 1 Utama Shopping Centre dan Mid Valley Megamall, selain turut tersedia secara atas talian.