Samsung Galaxy A37 5G Dan A57 5G Kini Rasmi Di Malaysia – Hadir Dengan Keupayaan Nightography Yang Lebih Baik
Lina Rosli
Samsung Malaysia secara rasmi memperkenalkan dua model baharu dalam siri Galaxy A iaitu Galaxy A37 5G dan Galaxy A57 5G untuk pasaran Malaysia.
Kedua-dua peranti ini hadir sebagai pilihan lebih mampu milik berbanding siri mercu Galaxy S dan Galaxy Z – namun ia masih menawarkan pengalaman penggunaan yang lengkap termasuk ciri AI, kamera dipertingkat dan bateri lebih tahan lama.

Dari segi rekaan, kedua-dua model tampil dengan gaya minimalis yang kemas. Untuk Galaxy A57 5G, ia tampil dengan rekaan lebih nipis iaitu dengan ketebalan hanya 6.9mm selain turut dibina menggunakan aluminium. Manakala Galaxy A37 5G pula, ia dibina menggunakan bingkai plastik.
Kedua-duanya turut menyokong ketahanan air dan debu bertaraf IP68, menjadikannya lebih tahan lasak untuk penggunaan harian.

Selain itu, Samsung Galaxy A57 5G hadir dengan skrin AMOLED 6.7 inci bersama kadar segar semula 120Hz dan sokongan HDR10+, dipadankan dengan cip Exynos 1680, RAM 12GB serta pilihan storan sehingga 512GB. Ia juga dilengkapi bateri 5000mAh dengan pengecasan pantas 45W.
Dari segi kamera, ia menggunakan sistem tiga kamera dengan sensor utama 50MP, ultra lebar 12MP dan makro 5MP, manakala kamera hadapan 12MP. Menariknya, model ini turut memfokuskan keupayaan Nightography yang dipertingkat untuk tangkapan gambar lebih jelas dalam keadaan cahaya rendah.
Sementara itu, Samsung Galaxy A37 5G menawarkan spesifikasi yang sedikit berbeza dengan cip Exynos 1480, pilihan RAM 8GB atau 12GB serta storan 256GB. Skrinnya masih 6.7 inci AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz, namun tanpa HDR.
Kamera pula terdiri daripada sensor utama 50MP, ultra lebar 8MP dan makro 5MP, bersama kamera swafoto 12MP. Model ini lebih memfokuskan kepada prestasi stabil untuk penggunaan harian termasuk penstriman, media sosial dan permainan mudah alih.

Kedua-dua peranti menjalankan sistem operasi One UI 8.5 berasaskan Android 16, lengkap dengan sokongan kemaskini sehingga enam versi Android serta enam tahun tampalan keselamatan—satu penawaran yang jarang dilihat dalam kelas pertengahan.
Dari segi ciri pintar, Samsung menyertakan fungsi “Awesome Intelligence” yang merangkumi Voice Transcription, AI Select, Object Erase, Best Face Auto Trim serta Circle to Search bersama Google.

Untuk pasaran Malaysia, harga yang ditawarkan adalah seperti berikut:
- Galaxy A57 5G (12GB + 512GB) – RM2,699 (RM2,199 selepas rebat)
- Galaxy A57 5G (12GB + 256GB) – RM2,399 (RM2,049 selepas rebat)
- Galaxy A37 5G (12GB + 256GB) – RM1,999 (RM1,899 selepas rebat)
- Galaxy A37 5G (8GB + 256GB) – RM1,899 (RM1,699 selepas rebat)
Promosi pelancaran termasuk rebat sehingga RM500 ditawarkan bermula 25 Mac 2026 hingga 31 Disember 2026, bersama tambahan potongan melalui pembayaran tertentu seperti Shopee PayLater serta bank terpilih.