Jabra Memperluaskan Penyelesaian Kerja Hibrid – Jabra Evolve3 Dan PanaCast Room Kit

April 14, 2026
Gajet Dan Teknologi

Lina Rosli

Baru-baru ini, Jabra dilihat terus memperkukuhkan penawaran penyelesaian kerja hibrid dengan memperkenalkan dua inovasi baharu iaitu siri fon kepala Jabra Evolve3 dan Jabra PanaCast Room Kit.

Kedua-dua produk ini direka bagi memenuhi keperluan persekitaran kerja moden yang semakin fleksibel, dengan fokus kepada komunikasi yang jelas, mobiliti dan kebolehskalaan untuk organisasi.

Perkembangan ini hadir ketika semakin banyak organisasi beralih kepada model kerja hibrid, termasuk di Malaysia, selari dengan usaha mengoptimumkan operasi dalam situasi global yang mencabar.

Tinjauan global oleh Zoom turut menunjukkan bahawa 75% pekerja merasakan perisian kerja jarak jauh atau hibrid sedia ada masih perlu ditambah baik, manakala 72% menggesa pelaburan lebih besar dalam teknologi baharu.

Dalam konteks ini, Jabra memperkenalkan pendekatan menyeluruh merangkumi penggunaan individu hingga ke ruang mesyuarat berskala besar, dengan integrasi teknologi audio dan video pintar.

Siri Jabra Evolve3 75 dan Evolve3 85

Siri Jabra Evolve3 tampil sebagai fon kepala profesional generasi baharu yang direka khusus untuk pekerja hibrid. Ia hadir dalam dua varian iaitu Evolve3 85 (over-ear) dan Evolve3 75 (on-ear), kedua-duanya menampilkan reka bentuk tanpa boom mic dengan sokongan teknologi kecerdasan buatan.

Melalui teknologi Jabra ClearVoice dan rangkaian neural (DNN) yang dilatih menggunakan jutaan sampel suara, sistem ini mampu mengasingkan suara pengguna daripada bunyi latar tanpa memerlukan mikrofon luaran yang jelas kelihatan.

Selain itu, ciri Adaptive Active Noise Cancellation (ANC) turut disertakan bagi menyesuaikan tahap penapisan bunyi mengikut persekitaran. Ini membolehkan pengguna mengekalkan fokus sama ada ketika bekerja di pejabat, di rumah atau semasa bergerak.

Sokongan Spatial Sound pula membantu menghasilkan pengalaman panggilan yang lebih semula jadi.

Dari segi penggunaan harian, siri ini menawarkan hayat bateri sehingga 37 jam dengan pengecasan pantas, di mana 10 minit pengecasan mampu memberikan sehingga 10 jam penggunaan. Ia juga dilengkapi sambungan Bluetooth Low Energy yang selamat serta sokongan platform mesyuarat utama, menjadikannya sesuai untuk kegunaan profesional.

Varian Evolve3 85 menekankan pengalaman imersif dengan reka bentuk over-ear yang membantu pengasingan bunyi maksimum, sesuai untuk persekitaran lebih bising. Sementara itu, Evolve3 75 pula menawarkan reka bentuk lebih ringan dan bernafas, sesuai untuk pengguna yang memerlukan kesedaran persekitaran lebih tinggi.

Jabra PanaCast Room Kit

Melengkapkan ekosistem ini, Jabra turut memperkenalkan PanaCast Room Kit yang direka untuk meningkatkan pengalaman mesyuarat dalam bilik bersaiz sederhana hingga besar. Sistem ini menyokong konfigurasi pelbagai kamera dan menggunakan teknologi video panoramik 180 darjah bagi memastikan semua peserta dapat dilihat dengan jelas.

Dilengkapi dengan sistem multi-kamera berasaskan AI, PanaCast Room Kit mampu mengesan dan memfokuskan individu yang sedang bercakap secara automatik. Ini membolehkan pengalaman mesyuarat yang lebih inklusif, terutamanya bagi peserta jarak jauh. Audio yang disepadukan turut memastikan setiap suara dapat didengari dengan jelas tanpa mengira kedudukan dalam bilik.

Menurut Jabra, gabungan penyelesaian audio peribadi dan sistem video bilik mesyuarat ini mencerminkan visi menyeluruh dalam menyokong kolaborasi hibrid.

Kajian Jabra bersama London School of Economics turut menunjukkan bahawa 60% profesional menjangkakan interaksi berasaskan suara akan menjadi kaedah utama dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Dari segi ketersediaan, Jabra Evolve3 85 ditawarkan pada harga RM3,000 manakala Evolve3 75 pada harga RM2,300 melalui rangkaian fizikal rasmi Jabra di platform edagang.

Sementara itu, PanaCast Room Kit dijangka memasuki pasaran tempatan sekitar suku kedua 2026 dengan harga bermula sekitar RM35,000.

Dengan pelancaran ini, Jabra terus memperkukuh kedudukannya sebagai penyedia penyelesaian audio dan video profesional, selari dengan keperluan organisasi yang semakin bergantung kepada teknologi untuk memastikan produktiviti dan kolaborasi kekal lancar dalam era kerja hibrid.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd