Sensodyne Melancarkan Produk Baharu – Sensodyne Clinical White Stain Protector Dan Enamel Strengthening

April 14, 2026
Penjagaan Diri

Lina Rosli

Haleon Malaysia secara rasmi melancarkan Sensodyne Clinical White, ubat gigi dwi-tindakan yang dirumus untuk memberikan kesan pemutihan ketara sambil melindungi gigi sensitif melalui pendekatan berasaskan sains.

Selari dengan tema “Tiada Kompromi dengan Sensodyne Clinical White”, produk ini diperkenalkan sebagai inovasi pemutihan yang bukan sekadar memberi kesan kosmetik sementara, tetapi turut mengutamakan kesihatan mulut secara menyeluruh.

Pada masa kini, rata-rata individu sangat mementingkan keperluan untuk mendapatkan gigi yang putih. Akan tetapi masih ramai yang tidak menyedari bahawa sesetengah produk pemutihan boleh meningkatkan risiko sensitiviti atau memberi tekanan kepada enamel.

Situasi ini mewujudkan dilema dalam kalangan pengguna, khususnya mereka yang mempunyai gigi sensitif tetapi masih ingin mendapatkan senyuman yang lebih cerah.

Berdasarkan kajian Kantar 2025, sebanyak 58% rakyat Malaysia mengalami masalah gigi sensitif, manakala hampir 39% berdepan isu perubahan warna gigi.

Lebih menarik, 44% individu dengan gigi sensitif turut mengalami masalah kekuningan atau kotoran gigi, menunjukkan kedua-dua kebimbangan ini sering berlaku serentak.

Sensodyne Clinical White hadir untuk menangani isu ini melalui formulasi dwi-tindakan yang memutihkan gigi sambil melindungi enamel. Dengan penggunaan dua kali sehari, ia mampu menjadikan gigi sehingga dua tona lebih putih dalam tempoh lapan minggu, di samping menawarkan perlindungan sensitiviti sepanjang masa.

Formulasi ini juga direka dengan teknologi lelasan rendah yang selamat untuk enamel.

Produk ini ditawarkan dalam dua varian utama mengikut keperluan pengguna. Sensodyne Clinical White Stain Protector sesuai untuk mereka yang berdepan kesan kotoran harian seperti kopi dan teh, dengan keberkesanan penyingkiran kotoran yang lebih tinggi berbanding ubat gigi pemutih biasa.

Sementara itu, Sensodyne Clinical White Enamel Strengthening pula dirumus untuk menyokong pengguna sebelum, semasa dan selepas rawatan pemutihan profesional dengan memberikan perlindungan tambahan terhadap sensitiviti.

Selain itu, pakar pergigian turut menegaskan bahawa sensitiviti gigi sering berlaku apabila enamel terhakis, mendedahkan lapisan dentin yang lebih sensitif kepada rangsangan seperti makanan dan minuman panas atau sejuk. Penggunaan bahan pelelas yang tinggi dalam sesetengah produk pemutihan boleh mempercepatkan proses ini, sekali gus meningkatkan ketidakselesaan.

Sehubungan itu, pemilihan ubat gigi dengan formulasi hakisan yang rendah menjadi semakin penting. Kandungan seperti fluorida membantu menguatkan enamel, manakala bahan seperti potassium nitrate berfungsi melegakan sensitiviti.

Gabungan ini membolehkan pengguna mencapai senyuman yang lebih putih tanpa menjejaskan kesihatan gigi dalam jangka masa panjang.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd