LG Electronics Memperkenalkan WashTower, AI Home Dan Dapur Pintar Di InnoFest 2026 APAC

April 15, 2026
Gajet Dan Teknologi

Lina Rosli

LG Electronics pada tahun ini dilihat terus memperkukuh kedudukannya dalam pasaran Asia-Pasifik apabila memperkenalkan rangkaian produk dan penyelesaian kediaman pintar terkini di acara LG InnoFest 2026 APAC yang berlangsung di Busan, Korea Selatan.

Bertemakan “Innovation, Forward Together”, LG Electronics menampilkan pelbagai teknologi berasaskan gaya hidup pengguna Asia, dengan fokus kepada penyelesaian praktikal yang relevan untuk kediaman moden. Pendekatan ini memperlihatkan bagaimana inovasi K-Tech diterjemahkan kepada pengalaman harian yang lebih mudah, cekap dan selesa.

Dalam segmen penjagaan pakaian, LG memperkenalkan rangkaian WashTower yang kini hadir dengan pilihan saiz baharu 25 inci, selain model 24 inci dan 27 inci sedia ada.

Reka bentuknya menitikberatkan penjimatan ruang, sesuai dengan persekitaran kediaman di Asia yang pelbagai. Teknologi Artificial Intelligence Direct Drive (AI DD) pula membantu mengoptimumkan cucian mengikut jenis fabrik, manakala TurboWash 3D mempercepatkan proses cucian dalam tempoh kurang 30 minit.

Tambahan pula, fungsi dispenser automatik memudahkan penggunaan harian dengan mengawal jumlah detergen secara tepat.

LG turut memperkukuh penawaran dengan WashCombo, sebuah mesin semua-dalam-satu yang menggabungkan fungsi basuh dan kering. Dilengkapi teknologi Inverter HeatPump, ia bukan sahaja memberikan prestasi pengeringan yang konsisten, malah lebih menjimatkan tenaga.

Dalam ruang dapur pula, LG memperkenalkan peti sejuk dengan rekaan Fit & Max yang menampilkan Zero Clearance Hinge untuk pemasangan lebih kemas tanpa memerlukan ruang tambahan di bahagian sisi. Sistem Ice Solution pula menawarkan empat jenis ais berbeza termasuk Craft Ice, memenuhi keperluan gaya hidup pengguna yang gemar menikmati minuman sejuk di rumah.

Bagi mesin basuh pinggan mangkuk, LG menampilkan teknologi QuadWash Pro yang menggunakan pancutan air bertekanan tinggi dari pelbagai sudut untuk pembersihan menyeluruh. Kitaran basuh dan kering yang hanya mengambil masa satu jam turut menjadi kelebihan utama, manakala teknologi Dynamic Heat Dry+ memastikan proses pengeringan lebih efisien.

Menariknya, LG turut memperkenalkan Camera Oven, ketuhar pintar yang mampu mengenal pasti bahan masakan dan mencadangkan mod memasak yang sesuai secara automatik. Teknologi ini turut memantau warna permukaan makanan bagi memastikan hasil masakan yang lebih sempurna, sekaligus memudahkan pengalaman memasak di rumah.

Dari segi pengalaman pameran, LG membawa pendekatan lebih imersif dengan memperkenalkan zon kediaman berbeza yang diinspirasikan oleh gaya hidup di Asia, termasuk elemen rekaan yang dipengaruhi drama Korea. LG juga buat pertama kali memperkenalkan sesi live commerce secara langsung dari ruang pameran, menjadikan pengalaman lebih interaktif.

Keseluruhan ekosistem ini disatukan melalui AI Home Hub, ThinQ ON, yang menghubungkan peralatan pintar dan peranti IoT dalam satu sistem bersepadu. Melalui platform ini, pengguna dapat mengawal dan menyelaraskan peranti rumah dengan lebih mudah, sekali gus merealisasikan konsep rumah pintar yang lebih intuitif.

Selain inovasi produk, LG turut memperluaskan perkhidmatan LG Subscribe di beberapa pasaran Asia termasuk Malaysia, menawarkan model langganan fleksibel untuk peralatan rumah berserta sokongan penyelenggaraan menyeluruh.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd