PROTON X70 Sport Edition Dilancarkan, Terhad 600 Unit dengan Tambahan Harga Hanya RM2,500
Lina Rosli
PROTON hari ini memperkenalkan PROTON X70 Sport Edition (SE), edisi khas bagi SUV segmen-C yang tampil dengan gaya lebih sporty serta penambahbaikan terpilih pada bahagian dalaman dan luaran.
Model ini dibangunkan berasaskan varian Premium dan ditawarkan secara terhad kepada hanya 600 unit dalam warna eksklusif Quartz Black.

Sebagai antara model paling popular dalam barisan PROTON, X70 telah lama dikenali dengan gabungan keselesaan, teknologi dan praktikaliti harian.
Melalui edisi Sport Edition ini, PROTON mengekalkan asas tersebut sambil memperkenalkan sentuhan visual yang lebih berani dan kontemporari, selari dengan tema “Malaysia’s Most Refined SUV”.

Dari segi penampilan, PROTON X70 Sport Edition menampilkan kit badan penuh yang merangkumi bahagian hadapan, sisi dan belakang, sekaligus memberikan imej lebih premium di atas jalan raya. Ia turut dipadankan dengan rim aloi hitam bersaiz 19 inci serta lencana khas Sport Edition yang memperkukuh identiti tersendiri model ini.
Bahagian dalaman pula menerima kemasan yang lebih eksklusif dengan penggunaan jahitan merah pada stereng dan perehat tangan. Tempat duduk juga dipertingkatkan dengan jahitan merah serta sulaman logo Sport Edition, menghasilkan suasana kabin yang lebih premium dan berorientasikan pemandu.


Selain itu, dulang but turut disertakan bagi menambah aspek praktikal dalam penggunaan harian.
Dari sudut prestasi, model ini dikuasakan oleh enjin i-GT 1.5TD empat silinder yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan (7DCT). Gabungan ini menawarkan keseimbangan antara prestasi responsif dan kecekapan bahan api, disokong oleh talaan Ride & Handling PROTON yang terkenal dalam memberikan kestabilan dan keselesaan pemanduan.

Di dalam kabin, pengalaman pemanduan turut diperkaya dengan paparan inforia bersaiz 12.3 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto secara nirwayar. Sistem ini turut dilengkapi fungsi arahan suara “Hi PROTON” serta integrasi aplikasi PROTON Link 2.0 untuk keterhubungan yang lebih lancar.
Aspek keselamatan terus menjadi keutamaan dengan penawaran Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2 yang merangkumi 13 ciri keselamatan.
Antaranya termasuk Intelligent Cruise Control (ICC), Lane Keep Assist (LKA) dan Autonomous Emergency Braking (AEB), yang membantu meningkatkan keyakinan serta kesedaran pemandu dalam pelbagai situasi.

Secara keseluruhan, PROTON X70 Sport Edition menawarkan nilai tambahan sekitar RM6,000 melalui pelbagai naik taraf yang disertakan.
Setiap pembelian turut didatangkan dengan pakej pelancaran eksklusif termasuk jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, enam kali servis upah percuma, pakej data dalam kenderaan selama lima tahun, pilihan pembiayaan menarik serta program tukar beli dan perlindungan insurans tambahan.

Dari segi harga, PROTON X70 1.5TD Premium ditawarkan pada RM112,800 di Semenanjung Malaysia dan RM114,800 di Malaysia Timur, dengan tambahan RM2,500 untuk pakej Sport Edition. Harga ini adalah selepas rebat bagi pendaftaran sebelum 30 April 2026.
Tempahan untuk PROTON X70 Sport Edition kini dibuka melalui laman rasmi PROTON serta bilik pameran sah di seluruh negara.