Kiosk Telekesihatan Dilancarkan Di Bandar Tun Razak – Bantu Mudahkan Akses Saringan Kesihatan Komuniti

April 21, 2026
Kesihatan

Lina Rosli

Baru-baru ini, satu inisiatif baharu telah diperkenalkan dalam memperluaskan akses penjagaan kesihatan diperkenalkan di Bandar Tun Razak – iaitu Kiosk Telekesihatan. Ia merupakan inisiatif yang menawarkan kemudahan saringan kesihatan asas serta akses kepada konsultasi digital secara lebih mudah dan pantas.

Kiosk ini dibangunkan dengan sokongan BIG CARING Group melalui BIG Pharmacy dan CARiNG Pharmacy sebagai sebahagian usaha untuk mendekatkan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti setempat.

Melalui kiosk ini, pengguna boleh menjalankan pelbagai pemeriksaan kesihatan asas dalam tempoh singkat. Antaranya termasuk pengukuran tekanan darah, suhu badan, tahap oksigen dalam darah, ketinggian dan berat badan, serta analisis komposisi badan. Semua data ini direkodkan secara digital, sekali gus memudahkan pemantauan kesihatan secara berterusan.

Selain saringan fizikal, kiosk ini turut menyediakan akses kepada telekonsultasi, membolehkan pengguna mendapatkan nasihat profesional tanpa perlu hadir ke fasiliti kesihatan secara fizikal. Pengguna juga boleh menerima laporan kesihatan melalui e-mel, mencetak keputusan, serta mendapatkan preskripsi dan perkhidmatan penghantaran ubat jika diperlukan.

Pendekatan ini selari dengan keperluan semasa yang menekankan kemudahan, kecekapan dan penggunaan teknologi dalam penjagaan kesihatan. Dengan gabungan saringan kendiri dan konsultasi digital, kiosk ini berfungsi sebagai titik akses awal untuk individu lebih peka terhadap tahap kesihatan mereka.

Secara keseluruhan, Kiosk Telekesihatan di Bandar Tun Razak menawarkan satu penyelesaian praktikal bagi komuniti untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan asas dengan lebih cepat, mudah dan teratur, sambil menggalakkan amalan pemantauan kesihatan secara berkala dalam kehidupan harian.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd