GWM Malaysia Catat 1,294 Jualan Untuk Suku Pertama 2026 – Segmen EV Dan Hibrid Terus Mendominasi
Lina Rosli
GWM Malaysia baru-baru ini mengumumkan yang mana jenama mereka memperlihatkan momentum positif pada suku pertama 2026 dengan prestasi yang stabil, meskipun berdepan keadaan pasaran automotif yang lebih sederhana.
Keputusan ini turut dipacu oleh peningkatan minat pengguna terhadap mobiliti berkuasa elektrik, termasuk kenderaan hibrid dan elektrik sepenuhnya.
Sepanjang tempoh tersebut, GWM Malaysia mencatatkan sebanyak 1,294 unit jualan yang mana jenama mereka mengekalkan kedudukannya dalam kalangan 15 jenama automotif teratas di Malaysia.

Walaupun keseluruhan aktiviti pasaran menunjukkan sedikit penyederhanaan, permintaan terhadap kenderaan hibrid, hibrid plug-in (PHEV) dan elektrik (EV) terus berkembang, selari dengan strategi GWM yang memfokuskan kepada segmen ini.
Prestasi syarikat juga menunjukkan peningkatan berperingkat sepanjang suku tersebut, dengan bulan Mac mencatatkan pencapaian lebih kukuh. Ini mencerminkan sentimen pengguna yang semakin stabil serta minat berterusan terhadap penawaran produk GWM.

Dari segi portfolio, model WEY G9 Hi4 PHEV menjadi peneraju utama dengan momentum jualan yang konsisten sejak pelancarannya. Model ini turut muncul sebagai MPV mewah China nombor satu di Malaysia bagi suku pertama 2026, sekaligus menetapkan penanda aras baharu dalam segmennya.
Ia juga merupakan model pertama di Malaysia yang menampilkan sistem hibrid pintar Hi4, menandakan komitmen jangka panjang GWM dalam teknologi elektrifikasi.
Selain itu, HAVAL H6 HEV kekal sebagai antara penyumbang utama, berikutan prestasinya sebagai salah satu model hibrid terlaris di Malaysia pada 2025 dengan pegangan pasaran sebanyak 14.9%. Model ini terus menjadi pilihan pengguna yang mengutamakan kecekapan bahan api, kepraktisan dan kos pemilikan yang lebih rendah.

Dalam segmen SUV, TANK 300 mengukuhkan kedudukannya sebagai model gaya hidup berorientasikan off-road, manakala TANK 500 terus memperluaskan kehadiran dalam segmen SUV premium dengan menawarkan gabungan keselesaan dan keupayaan pemanduan.
Pelancaran versi hibrid bagi TANK 300 dijangka akan menyokong pertumbuhan selanjutnya dalam segmen ini.
Bagi segmen kenderaan elektrik pula, ORA Good Cat kekal sebagai pilihan EV bandar yang mudah diakses, terutama dalam kalangan pengguna muda dan mereka yang tinggal di kawasan urban. Permintaan terhadap model ini mencerminkan peningkatan kesedaran terhadap mobiliti lebih mesra alam dan kos operasi yang lebih rendah.

Melangkah ke hadapan, GWM Malaysia mengambil pendekatan berhati-hati optimistik dengan merancang beberapa pelancaran baharu, termasuk TANK 300 HEV.
Selain itu, jenama ini turut akan meningkatkan keterlihatan melalui penyertaan dalam acara industri seperti Kuala Lumpur International Mobility Show 2026 dan Penang Autoshow 2026, yang dijangka memainkan peranan penting dalam mempengaruhi keputusan pembelian pengguna.
Dari segi operasi, GWM Malaysia turut memberi fokus kepada pengembangan rangkaian pengedar, penambahbaikan perkhidmatan selepas jualan serta pengukuhan pengalaman pelanggan.
Setakat April 2026, syarikat telah mempunyai 39 bilik pameran di seluruh negara dan menyasarkan untuk mencapai 60 cawangan menjelang akhir tahun ini.