UNIQLO Hadir Dengan Tiga Rekaan Baharu Untuk T-Shirt PEACE FOR ALL

May 4, 2026
Fesyen

Lina Rosli

UNIQLO hari ini mengumumkan pelancaran tiga rekaan baharu bagi projek T-shirt amal PEACE FOR ALL, sebuah inisiatif global yang membawa mesej keamanan melalui fesyen.

Projek ini menampilkan koleksi T-shirt grafik yang direka oleh kolaborator dari pelbagai latar belakang, masing-masing berkongsi mesej tentang harapan terhadap keamanan dunia. Menariknya, semua keuntungan daripada jualan T-shirt ini akan disalurkan kepada organisasi kemanusiaan antarabangsa.

Kolaborasi kali ini melibatkan tiga nama berpengaruh iaitu Hideki Kuriyama, TOHO Co., Ltd. dan Toray Industries, Inc., masing-masing membawa interpretasi tersendiri mengenai keamanan.

Rekaan oleh Hideki Kuriyama menampilkan ilustrasi permainan “catch” di bahagian hadapan dan belakang T-shirt, dengan mesej yang menekankan kepentingan komunikasi secara bersemuka dalam era serba moden. Menurut beliau, interaksi secara langsung mampu menghubungkan manusia dengan lebih mendalam dan menjadi langkah pertama ke arah kebahagiaan serta keamanan.

Sementara itu, rekaan daripada TOHO Co., Ltd. menggabungkan slogan “Moments for Life” bersama watak ikonik Godzilla dalam bentuk kolaj. Rekaan ini melambangkan harapan agar detik-detik kecil dalam kehidupan mampu menjadi sumber inspirasi yang merentas budaya dan generasi.

Bagi Toray Industries, Inc. pula, rekaan mereka menampilkan emblem asal syarikat yang terdiri daripada tiga bulatan mewakili langit, bumi dan manusia. Simbol ini mencerminkan komitmen berterusan mereka dalam menggunakan teknologi bahan maju untuk menyelesaikan cabaran global dan memperkayakan kehidupan manusia.

Melalui projek PEACE FOR ALL, UNIQLO terus mengajak masyarakat global untuk bersama-sama menyumbang ke arah masa depan yang lebih selamat dan aman untuk semua.

Bagi yang berminat, t-shirt ini ditawarkan pada harga RM59.90 dengan pilihan saiz dari XS hingga 4XL dan boleh didapati di semua stor UNIQLO serta laman web rasmi mereka.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd