MG Motor Malaysia Rai Ulang Tahun Ke-2 – Turut Hadir Dengan Model MGS5 EV CKD Pada Harga Bermula RM116,900
Lina Rosli
MG Motor Malaysia meraikan ulang tahun ke-2 dengan permulaan 2026 yang memberangsangkan – didorong oleh perkembangan produk, peningkatan penglibatan pelanggan serta peluasan rangkaian yang semakin meluas di seluruh negara.
Momentum ini mencerminkan usaha berterusan jenama tersebut dalam mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran automotif tempatan, khususnya dalam segmen kenderaan elektrik.
Pada suku pertama 2026, jenama ini mencatat perkembangan positif termasuk pengiktirafan MG Cyberster sebagai ‘Performance Car of the Year’ oleh Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute.
Pengiktirafan ini bukan sahaja mengangkat reputasi model tersebut, malah mengukuhkan imej MG sebagai pengeluar yang menggabungkan prestasi, reka bentuk moden dan teknologi elektrifikasi dalam satu pakej.

Satu lagi pencapaian penting ialah pelancaran MGS5 EV versi pemasangan tempatan (CKD) di fasiliti EP Manufacturing Berhad di Melaka.Langkah ini menandakan fasa baharu dalam usaha lokalisasi MG di Malaysia, selain menyokong pemindahan teknologi dan pembangunan ekosistem EV tempatan.
Menurut MG, model ini ditawarkan pada harga RM116,900 – dan model ini dilihat sebagai antara usaha utama dalam menjadikan mobiliti elektrik lebih mampu milik dan mudah diakses oleh pengguna.

Dalam masa sama, MG terus aktif mendekati pengguna melalui pelbagai inisiatif termasuk kempen pandu uji Experience British Driving Dynamics serta penganjuran pameran jelajah di lokasi tumpuan seperti pusat beli-belah dan kawasan gaya hidup.
Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran jenama, malah memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai sendiri pengalaman pemanduan serta memahami kelebihan teknologi yang ditawarkan.

Di peringkat global, SAIC Motor terus memperkenalkan inovasi baharu seperti teknologi MG Hybrid+ dan bateri separa keadaan pepejal. Perkembangan ini mencerminkan hala tuju jangka panjang jenama dalam memperkukuh penawaran produk berteknologi tinggi serta memenuhi keperluan mobiliti masa depan yang lebih cekap dan lestari.


Dari segi prestasi, MG Motor Malaysia merekodkan pertumbuhan jualan yang kukuh dengan peningkatan sebanyak 57% berbanding suku sebelumnya dan 39% tahun ke tahun.
Pencapaian ini menunjukkan keyakinan pengguna yang semakin meningkat terhadap jenama tersebut, selari dengan usaha berterusan dalam memperkenalkan produk relevan dan memperkukuh pengalaman pelanggan.

Melangkah ke hadapan, MG akan menyertai Kuala Lumpur International Mobility Show serta merancang peluasan rangkaian termasuk pembukaan pusat 3S baharu di Kuantan dan Rawang – selain turut menawarkan 11 fasiliti badan dan cat turut disediakan bagi memastikan pelanggan menerima sokongan selepas jualan yang menyeluruh dan berkualiti tinggi.