Nestlé Malaysia Dan JAKIM Perkukuh Kerjasama – Pacu Ekosistem Halal Lebih Lestari Dan Berdaya Saing
Lina Rosli
Komitmen terhadap pembangunan industri Halal di Malaysia terus diperkukuh apabila Nestlé Malaysia menjalinkan kerjasama strategik bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menerusi inisiatif SYNERGY (Strengthening Your Network and Ecosystem for Resilient Growth).
Dengan tema ‘Memacu Halal, Memperkasa Komuniti’, usaha ini memberi fokus kepada pembangunan menyeluruh merangkumi pendidikan, industri serta rantaian bekalan bagi memastikan ekosistem Halal yang lebih inklusif, mampan dan bersedia untuk masa depan.
Sebagai antara peneraju industri yang telah lama terlibat dalam pengeluaran produk Halal sejak era 1970-an, Nestlé Malaysia terus memainkan peranan penting dalam menetapkan piawaian.

Dari sudut kawal selia, Ustaz Muhyidin bin Aziz @ Saari menyatakan bahawa pembangunan ekosistem Halal memerlukan kerjasama berterusan antara pihak berkuasa, industri dan masyarakat. JAKIM sendiri memainkan peranan penting sebagai rujukan global dalam menetapkan piawaian Halal yang ketat dan konsisten.
Dalam memperkukuh usaha ini, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Nestlé Malaysia. Antaranya termasuk program Halal@School bersama Universiti Sains Islam Malaysia yang telah melibatkan lebih 6,000 pelajar, serta Halal@STEM dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia bagi memupuk minat dalam bidang sains dari perspektif Halal. Selain itu, Ekspo HalalSTEM bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia turut menghimpunkan ratusan pelajar dari seluruh negara.
Bagi menyokong keusahawanan pula, Program Nestlé Youngpreneurs telah membantu pelajar universiti memahami asas perniagaan dan amalan Halal, manakala Program Bimbingan PMKS yang dijalankan bersama Halal Development Corporation dan SME Corp Malaysia telah memberi manfaat kepada lebih 1,200 usahawan dalam mendapatkan pensijilan Halal.
Terbaharu, usaha turut diperluas ke sektor logistik melalui program bimbingan bersama JAKIM bagi meningkatkan pematuhan Halal dalam rantaian bekalan.

Dalam masa sama, pendekatan kesedaran awam turut diperkukuh melalui kolaborasi bersama Institut Kefahaman Islam Malaysia menerusi program audio siar yang telah mencapai ratusan ribu pendengar di seluruh negara.
Secara keseluruhan, langkah yang diambil ini memperlihatkan bagaimana Halal bukan sekadar keperluan pematuhan, tetapi menjadi nilai teras dalam operasi dan strategi jangka panjang Nestlé Malaysia.
Bergerak ke hadapan, syarikat ini dijangka terus memperluas inisiatif sedia ada, termasuk membangunkan bakat baharu, memperkukuh keupayaan industri serta mempertingkatkan rantaian nilai Halal negara.