IKEA Malaysia Cipta Rekod Baharu MBOR – 8.6 Juta Karipap Dijual Setahun

May 8, 2026
syarikat

Lina Rosli

Bagi ramai rakyat Malaysia, kunjungan ke IKEA Malaysia bukan sekadar untuk mencari inspirasi dekorasi rumah atau membeli kelengkapan kediaman.

Sebaliknya, persinggahan di bahagian Bistro untuk mendapatkan karipap panas juga sudah menjadi antara “ritual” wajib yang melengkapkan pengalaman membeli-bah di sana.

Siapa sangka, snek ringkas yang cukup sinonim dengan IKEA ini kini secara rasmi diiktiraf sebagai ikon kulinari tempatan apabila IKEA Malaysia menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records bagi kategori jualan karipap terbanyak dalam tempoh setahun – sebanyak 8.6 juta karipap telah terjual.

Pengiktirafan tersebut hadir sempena sambutan ulang tahun ke-30 IKEA Malaysia di negara ini, sekaligus menandakan satu lagi pencapaian besar buat jenama peruncitan perabot terkenal itu.

Selama tiga dekad berada di Malaysia, IKEA bukan sahaja berjaya menarik perhatian pengguna menerusi rekaan perabot minimalis dan praktikal, tetapi juga melalui penawaran makanan yang dekat dengan cita rasa rakyat tempatan.

Karipap IKEA sememangnya mempunyai tempat tersendiri dalam kalangan pelanggan. Dengan pastri yang rangup bersama inti kentang berempah dan telur rebus, menu ini kekal menjadi pilihan ramai sejak dahulu lagi.

Malah, ramai pelanggan menganggap menikmati karipap IKEA sebagai sebahagian daripada pengalaman lengkap ketika berkunjung ke gedung tersebut.

Pencapaian yang dicatatkan ini juga mencerminkan sokongan berterusan pelanggan Malaysia terhadap IKEA sepanjang 30 tahun operasinya di negara ini.

Ia membuktikan bahawa sesuatu yang sederhana seperti sebiji karipap juga mampu menjadi simbol memori dan pengalaman yang dikongsi bersama ramai orang.

Sejak mula beroperasi di Malaysia pada tahun 1996, IKEA Malaysia terus komited menawarkan penyelesaian kediaman yang mampu milik, praktikal dan sesuai dengan gaya hidup moden.

Dalam masa sama, bahagian makanannya juga berjaya menjadi antara tarikan utama yang menghubungkan jenama tersebut dengan rakyat Malaysia.

Tahniah kepada IKEA Malaysia atas pencapaian ini serta sambutan 30 tahun yang penuh inspirasi.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd