PUMA Malaysia Memperkenalkan H-Street Baharu Pada Harga RM399
Lina Rosli
PUMA kembali mencuri perhatian menerusi kempen terbaru kasut H-Street bersama Rosé.
Menurut PUMA, model H-Street ini memfokuskan kasut untuk trek dan sukan. Dan kini, H-Street diberikan nafas baharu untuk kegunaan gaya hidup harian.

Ia menampilkan siluet low-profile, bahagian atas mesh yang lebih bernafas serta bentuk T-shaped toe box masih dikekalkan bagi mengekalkan identiti asalnya sebagai kasut prestasi.
Untuk pelancaran kali ini, H-Street hadir dalam pilihan warna ivory bersama kemasan metalik yang memberikan sentuhan moden dan lebih premium. Gabungan tona lembut dengan elemen kilauan menjadikan kasut ini mudah dipadankan untuk gaya kasual harian.

Bagi yang tidak mengetahui, model H-Street ini sebenarnya diinspirasikan daripada kasut larian arkib awal tahun 2000-an. Rekaan ini membawa semula elemen kasut spike trek perlumbaan yang terkenal dengan binaan ringan dan reka bentuk berorientasikan prestasi.
Dan yang menarik, ia juga mempunyai kaitan dengan model Harambee keluaran akhir 90-an, sebuah kasut perlumbaan ringan yang namanya diambil daripada ungkapan Swahili yang bermaksud “pull together”.

Kini, model H-Street mula diperkenalkan sebagai kasut gaya hidup pada tahun 2003 dan kini terus berkembang untuk generasi baharu. Kehadiran Rosé sebagai wajah utama kempen turut menjadikan model ini lebih relevan dalam dunia fesyen dan budaya semasa, khususnya dalam kalangan peminat gaya streetwear dan sneaker moden.
Untuk anda yang berminat, kasut PUMA H-Street kini boleh didapati pada harga RM399 di butik mercu PUMA, Solewhat, JD Sports Malaysia serta menerusi laman rasmi PUMA Malaysia.