Bagaimana Tekanan Darah Tinggi Memberi Kesan Pada Jantung?
Lina Rosli
Tekanan darah tinggi sering dianggap perkara biasa, sekadar nombor yang muncul ketika pemeriksaan kesihatan atau di mesin automatik di farmasi. Namun di sebalik angka itu, terdapat proses senyap yang berlaku dalam tubuh yang boleh memberi kesan besar kepada jantung jika tidak dikawal lebih awal.
Di Malaysia, hampir satu daripada tiga orang dewasa menghidap hipertensi, tetapi ramai masih tidak menyedari keadaan mereka. Lebih membimbangkan, tekanan darah tinggi ini sering tidak menunjukkan sebarang tanda awal. Ia bergerak perlahan, senyap dan dalam banyak kes hanya dikesan apabila komplikasi sudah mula berlaku.

Menurut Dr Gary Lee Chin Keong, Pakar Kardiologi dan Elektrofisiologi di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), keadaan ini menjadikan hipertensi sebagai salah satu ancaman paling berbahaya kerana ia tidak memberi amaran yang jelas pada peringkat awal. Namun kesannya kepada jantung berlaku secara berterusan dari hari ke hari.
Untuk pengetahuan anda, pada awalnya, jantung masih dapat menyesuaikan diri terhadap keadaan ini. Akan tetapi, keadaan ini tidak memberi manfaat dalam jangka masa panjang.
Kesan Tekanan Darah Tinggi Ke Atas Jantung
Tekanan darah tinggi yang berterusan menyebabkan otot jantung menjadi lemah dan akhirnya mengurangkan keupayaannya untuk mengepam darah dengan cekap.
Untuk memahami kesannya, kita perlu melihat bagaimana jantung berfungsi sebagai pam utama dalam sistem peredaran darah. Setiap kali jantung berdegup, ia menolak darah ke seluruh badan melalui rangkaian saluran darah yang membawa oksigen dan nutrien kepada setiap sel.
Apabila tekanan dalam sistem ini meningkat secara berterusan, jantung terpaksa bekerja lebih kuat daripada biasa untuk mengekalkan aliran darah yang stabil.

Dalam jangka pendek, jantung mungkin mampu menyesuaikan diri dengan beban tambahan ini. Namun apabila keadaan ini berlarutan, struktur jantung mula berubah. Salah satu perubahan awal yang sering berlaku ialah penebalan dinding jantung, khususnya pada bahagian ventrikel kiri atau turut dipanggil left ventricular hypertrophy (LVH).
Apabila dinding otot jantung menebal, ruang dalam ruang pam utama jantung menjadi lebih kecil. Ini bermakna jantung bukan sahaja bekerja lebih keras, tetapi juga menjadi kurang efisien dalam mengisi dan mengepam darah. Lama-kelamaan, keanjalan otot jantung juga berkurang, menjadikannya lebih kaku dan kurang responsif terhadap keperluan badan.
Apa yang membimbangkan, perubahan seperti LVH ini boleh berlaku tanpa sebarang simptom yang jelas. Ramai individu yang kelihatan sihat sebenarnya sudah mengalami perubahan struktur jantung tanpa menyedarinya. Keadaan ini biasanya hanya dapat dikesan melalui pemeriksaan seperti ekokardiogram, yang membolehkan doktor melihat struktur jantung dengan lebih terperinci.
Ini menjelaskan mengapa ramai pesakit hipertensi hanya mengetahui keadaan mereka apabila sudah mengalami komplikasi. Tubuh memberi isyarat yang sangat halus, dan dalam banyak keadaan, isyarat ini mudah disalah anggap sebagai keletihan biasa, stres kerja, atau simptom ringan yang tidak membimbangkan.

Apa Gejala Bagi Tekanan Darah Tinggi Yang Beri Kesan Kepada Jantung?
Simptom utama yang boleh anda lihat adalah seperti sesak nafas, sakit dada, berdebar-debar, pening atau rasa hampir pengsan sering muncul pada peringkat yang lebih lewat.
Pada waktu ini, perubahan pada jantung mungkin sudah menjadi lebih serius. Dalam banyak situasi, individu hanya mula mendapatkan rawatan apabila fungsi jantung sudah mula terjejas.
Dr Gary menjelaskan bahawa kelewatan ini adalah antara cabaran terbesar dalam pengurusan hipertensi. Ramai pesakit tidak menyedari bahawa mereka sedang berada dalam fasa awal kerosakan organ kerana badan masih mampu “bertahan” walaupun dalam keadaan tidak normal.
Lebih kompleks lagi, hipertensi tidak hanya memberi kesan kepada jantung semata-mata. Ia juga boleh mempengaruhi organ lain seperti otak, buah pinggang dan saluran darah di seluruh tubuh.
Salah satu kaitan penting yang sering dibincangkan ialah hubungan antara hipertensi dan fibrilasi atrium, iaitu gangguan irama jantung yang boleh menyebabkan aliran darah menjadi tidak teratur.
Untuk pengetahuan anda, hipertensi tidak berlaku secara sendirian. Kerap kali ia turut memberi kesan kepada pelbagai organ termasuk otak, buah pinggang dan saluran darah di seluruh badan.

Fibrilasi atrium ini meningkatkan risiko pembentukan darah beku dalam jantung, yang seterusnya boleh bergerak ke otak dan menyebabkan strok. Strok pula merupakan antara punca utama kematian dan kecacatan di Malaysia, menjadikan hipertensi sebagai faktor risiko yang tidak boleh dipandang ringan.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, trend yang lebih membimbangkan turut mula kelihatan apabila hipertensi semakin banyak dikesan dalam kalangan golongan muda. Jika dahulu ia lebih sinonim dengan usia tua, kini ramai pesakit dalam lingkungan 20-an dan 30-an sudah mula menunjukkan tanda-tanda tekanan darah tinggi.
Gaya Hidup Yang Menjadi Faktor Utama
Menurut Dr Gary, perubahan ini sangat berkait rapat dengan gaya hidup moden. Tekanan kerja, kurang tidur, tabiat pemakanan tinggi garam, kurang aktiviti fizikal, merokok serta peningkatan kadar obesiti dan diabetes menjadi faktor yang saling melengkapi dan mempercepatkan risiko penyakit kardiovaskular.
Gabungan faktor seperti obesiti dan diabetes menjadikan risiko ini lebih tinggi. Apabila beberapa faktor ini hadir serentak, ia bukan sahaja mempercepatkan kemunculan hipertensi, tetapi juga meningkatkan kemungkinan komplikasi berlaku pada usia yang lebih muda.
Ini bermakna seseorang mungkin perlu hidup lebih lama dengan beban penyakit yang boleh menjejaskan kualiti hidup mereka.
Walaupun situasi ini kedengaran membimbangkan, berita baiknya ialah hipertensi boleh dikesan lebih awal dan dikawal dengan berkesan jika diurus dengan betul. Dr Gary menekankan kepentingan saringan awal, walaupun ketika seseorang masih berasa sihat.

Langkah mudah seperti memeriksa tekanan darah secara berkala, serta melakukan ujian asas seperti kolesterol, gula dalam darah dan pemantauan berat badan, boleh membantu mengenal pasti risiko lebih awal.
Bagi individu berisiko tinggi, doktor mungkin akan mencadangkan pemeriksaan lanjut seperti ECG, ekokardiogram atau imbasan jantung untuk mendapatkan gambaran lebih menyeluruh tentang keadaan jantung.
Apabila hipertensi dikesan awal, intervensi boleh membantu melambatkan atau dalam sesetengah kes memperbaiki perubahan struktur pada jantung.
Rawatan biasanya melibatkan gabungan ubat-ubatan dan perubahan gaya hidup seperti pemakanan lebih sihat, senaman berkala, penurunan berat badan, berhenti merokok dan pengurusan stres yang lebih baik.
Namun begitu, Dr Gary turut mengingatkan bahawa pesakit tidak boleh menghentikan ubat tanpa nasihat doktor kerana kawalan tekanan darah yang tidak stabil boleh meningkatkan risiko komplikasi dengan cepat.