IZIPIZI Sambut Ulang Tahun Pertama Di Malaysia Dengan Koleksi ALEGRIA
Lina Rosli
IZIPIZI kini menyambut ulang tahun pertamanya di Malaysia dengan pelancaran koleksi kapsul terbaharu yang dinamakan ALEGRIA.
Koleksi edisi terhad ini tampil dengan inspirasi suasana musim panas Mediterranean yang santai, ceria dan penuh gaya.
Untuk pengetahuan anda, IZIPIZI merupakan jenama kaca mata popular dari Perancis yang terkenal dengan rekaan moden, minimal dan mudah dipakai untuk gaya harian. Jenama ini mula memasuki pasaran Malaysia pada Jun 2025 dan sejak itu semakin mendapat perhatian dalam kalangan peminat fesyen serta mereka yang mencari kaca mata dengan gabungan gaya dan keselesaan.

Selain kaca mata fesyen, IZIPIZI juga terkenal dengan koleksi kaca mata membaca, kaca mata hitam dan kaca mata penapis cahaya biru yang direka untuk kegunaan harian.
Khusus sempena sambutan ulang tahun pertama mereka, jenama ini memperkenalkan koleksi ALEGRIA – yang mengetengahkan rekaan yang ringan dan versatil dengan sentuhan warna-warna segar yang diinspirasikan daripada suasana pantai, cahaya matahari dan gaya hidup santai di Mediterranean.

Menurut IZIPIZI, koleksi ini membawa konsep “Sweet Escape”, iaitu gaya harian yang tampak lebih ekspresif sama ada dipakai di kota mahupun ketika bercuti.
Koleksi ini hadir dengan dua pilihan bingkai utama iaitu LUZ dan BAY. Untuk LUZ, ia menampilkan rekaan cat-eye yang lebih feminin dengan lengkungan lembut serta sentuhan vintaj moden. BAY pula menggunakan rekaan bingkai segi empat tepat dengan gaya minimal dan uniseks yang sesuai dipadankan untuk pelbagai bentuk wajah dan gaya harian.

Selain rekaan bingkai, ALEGRIA turut tampil dengan lima pilihan warna yang diinspirasikan daripada elemen Mediterranean seperti Pomodoro, Blue Riviera, Pastry Dream, Basil Love dan Black Olive. Setiap warna membawa karakter tersendiri daripada tona terang dan berani hinggalah warna neutral yang lebih mudah digayakan.
Koleksi ALEGRIA dijual pada harga RM359 dan kini boleh didapati di kiosk IZIPIZI Pavilion Kuala Lumpur yang terletak di aras 5, Pavilion Kuala Lumpur. Kiosk tersebut dibuka setiap hari bermula 10 pagi hingga 10 malam.

Bersempena sambutan ulang tahun pertama IZIPIZI di Malaysia dan pelancaran koleksi ini, pelanggan yang membeli dua pasang kaca mata daripada koleksi ALEGRIA turut akan menerima pouch eksklusif IZIPIZI sementara stok masih ada.