Sushi King Kini Tawar Yakiniku Di Semua Cawangan – Set Bermula RM22.90
Lina Rosli
Bila sebut tentang Sushi King, kebanyakan rakyat Malaysia pasti membayangkan hidangan sushi yang bergerak di atas kaiten belt atau pelbagai pilihan masakan Jepun yang sudah menjadi kegemaran ramai sejak bertahun-tahun lamanya.
Kini, selepas lebih tiga dekad beroperasi di Malaysia, Sushi King tampil dengan sesuatu yang baharu apabila memperkenalkan pengalaman yakiniku pertamanya di semua cawangan seluruh negara.

Melalui konsep yakiniku ini, pelanggan boleh memanggang sendiri pilihan daging dan makanan laut di meja makan, menjadikan pengalaman menjamu selera lebih menyeronokkan berbanding sekadar menikmati hidangan yang siap dihidangkan.
Set Yakiniku Bermula RM22.90
Menu yakiniku baharu ini menawarkan pelbagai pilihan set gril yang sesuai untuk pelbagai jenis pelanggan, sama ada mereka yang gemar menikmati daging premium, makanan laut atau hidangan Jepun secara santai bersama keluarga.

Antara pilihan yang ditawarkan termasuk set Beef Kalbi, Lamb Shoulder dan Salmon yang bermula daripada RM22.90.
Bagi mereka yang ingin menikmati pilihan yang lebih premium, Sushi King turut menawarkan Wagyu and Angus Striploin Deluxe Combo Set Meal, selain pilihan seperti Signature Grill Unagi dan Tiger Prawn yang bermula daripada RM35.90.

Setiap hidangan didatangkan bersama nasi Jepun, sup wakame, sayuran segar, jeruk pedas serta sos istimewa yang melengkapkan pengalaman yakiniku tersebut.
Selain menikmati set individu, pelanggan juga boleh menambah hidangan sampingan atau berkongsi set kombo bersama keluarga dan rakan-rakan.
Kini Sushi King Bukan Sekadar Sushi
Walaupun terkenal dengan hidangan sushi, Sushi King sebenarnya menawarkan pelbagai pilihan menu lain termasuk sashimi, bento, donburi, ramen dan kari Jepun.
Pengenalan yakiniku ini memperlihatkan usaha jenama tersebut untuk terus memperluaskan pilihan makanan sambil mengekalkan identitinya sebagai destinasi masakan Jepun halal yang mudah diakses oleh rakyat Malaysia.

Pada masa sama, Sushi King juga sedang menjalankan pembaharuan konsep restoran di seluruh negara dengan rekaan dalaman yang lebih moden dan selesa.
Ruang yang diperbaharui ini direka untuk memberi keselesaan kepada keluarga, kumpulan besar dan pelanggan yang ingin meluangkan masa lebih lama ketika menikmati hidangan.

Menariknya, pengalaman yakiniku ini tidak terhad kepada cawangan tertentu sahaja. Ia kini boleh dinikmati di semua restoran Sushi King di Malaysia.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh mengikuti perkembangan terkini melalui akaun media sosial rasmi Sushi King atau melayari laman web rasmi mereka.