KLIMS 2026: Nissan Pertonton X-Trail e-POWER x e-4ORCE, Pelancaran Malaysia Disahkan Suku Keempat

June 11, 2026
Automotif

Lina Rosli

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) secara rasminya memperkenalkan model Nissan X-Trail e-POWER x e-4ORCE baharu di pasaran serantau bersempena dengan acara Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2026.

Kehadiran model ini sekali gus mengesahkan pelancaran rasminya bagi pasaran Malaysia yang dijadualkan pada suku keempat (Q4) tahun 2026.

Langkag strategik ini memperkukuh portfolio kenderaan elektrifikasi Nissan di negara ini, susulan pengenalan dua model terdahulu iaitu Nissan KICKS e-POWER dan Nissan Serena e-POWER Serba Baharu.

Revolusi Teknologi e-POWER dan e-4ORCE

Menurut jenama ini, Nissan X-Trail terbaharu ini membawakan dua komponen teknologi utama yang membezakannya daripada kenderaan hibrid konvensional:

  • Sistem e-POWER Generasi Baharu: Roda kenderaan digerakkan sepenuhnya (100%) oleh motor elektrik bagi memberikan pecutan serta-merta dan pemanduan yang senyap. Enjin petrol sedia ada tidak memacu roda, sebaliknya berfungsi secara eksklusif sebagai penjana tenaga (generator) untuk mengecas bateri tanpa memerlukan pengecasan luaran.
  • Sistem Kawalan Semua Roda Elektrik Pintar (e-4ORCE): Teknologi ini menggunakan dua motor elektrik untuk mengawal agihan tork dan brek pada keempat-empat roda secara individu dan masa nyata (real-time). Keupayaan ini memberikan tindak balas yang lebih pantas berbanding sistem AWD mekanikal tradisional, sekali gus meningkatkan kestabilan dan keselamatan pengendalian di atas pelbagai permukaan jalan.

Presiden Nissan ASEAN, Masao Tsutsumi, menyatakan bahawa Malaysia kekal sebagai pasaran penting dalam strategi pertumbuhan elektrifikasi jenama tersebut di rantau ASEAN.

Pengenalan X-Trail e-POWER ini dijangka mampu menawarkan nilai premium dan praktikaliti yang lebih tinggi kepada pengguna tempatan yang mahukan pemanduan cekap tenaga tanpa kebergantungan kepada infrastruktur pengecasan awam.

Pameran Imersif “Nissan Crossing Ginza”

Selain daripada tumpuan terhadap model baharu, ruang pameran Nissan di KLIMS 2026 turut menampilkan kelainan dengan membawakan konsep ruang ikonik “Nissan Crossing Ginza” yang berinspirasikan seni manga Jepun.

Pendekatan kreatif ini bertujuan memberi pengalaman interaktif kepada pengunjung bagi memahami visi mobiliti masa hadapan Nissan dalam format yang lebih segar.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd