KLIMS 2026: Proton e.MAS 7 Premium Plus Diperkenalkan – Bateri Lebih Besar, Jarak Pemanduan Kini Mencecah 475KM
Lina Rosli
Sempena Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 yang berlangsung di MITEC, PRO-NET selaku anak syarikat PROTON secara rasminya telah memperlihatkan varian mercu terbaharu untuk SUV elektrik pertama mereka, iaitu Proton e.MAS 7 Premium Plus.

Kehadiran varian baharu ini bertepatan dengan sambutan ulang tahun kedua jenama e.MAS, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran kenderaan elektrik (EV) tempatan.
Fokus utama varian Premium Plus ini adalah untuk menyelesaikan kegusaran pemandu mengenai jarak pemanduan (range anxiety) di samping menawarkan keselesaan bertaraf premium.
Peningkatan Kapasiti Bateri & Jarak Pemanduan Lebih Jauh
Perubahan paling besar pada Proton e.MAS 7 Premium Plus ini terletak pada komponen hantaran kuasanya. Ia kini dilengkapi dengan bateri LFP Aegis Short Blade berkapasiti 68.39 kWh, berbanding 60.22 kWh yang terdapat pada varian Premium sebelum ini.

Dengan naik taraf bateri ini, jarak pemanduan maksimum kini meningkat sehingga 475 km (kitaran WLTP) sekiranya dipadankan dengan rim standard 18-inci —memperlihatkan peningkatan sebanyak 65 km.
Walau bagaimanapun, jika pengguna memilih padanan rim aloi 19-inci yang lebih besar, jarak pemanduannya adalah sekitar 450 km, iaitu tambahan 40 km berbanding varian sedia ada.
Peningkatan ini memberikan lebih fleksibiliti buat pengguna yang sering melakukan perjalanan jarak jauh atau pulang ke kampung.

Dari segi prestasi, Proton e.MAS 7 Premium Plus mengekalkan motor elektrik pacuan roda depan (FWD) yang mampu menghasilkan kuasa 218 PS (160 kW) dan tork 320 Nm.
Walau bagaimanapun, penambahan saiz bateri telah menambah berat kenderaan sekitar 50 kg. Implikasi daripada berat tambahan ini menyebabkan pecutan 0 sehingga 100 km/j mengambil masa 7.4 saat (berbanding 6.9 saat pada varian sedia ada).

Bagi aspek pengecasan:
- Pengecasan Pantas DC (100 kW): Mampu mengecas dari 30% hingga 80% dalam masa 20 minit sahaja.
- Pengecasan AC (11 kW): Mengambil masa sekitar 7 jam untuk pengecasan penuh (10% hingga 100%) disebabkan kapasiti bateri yang lebih besar.
Bagi anda yang ingin melakukan pra-tempah, Proton e.Mas7 baharu ini ditawarkan pada harga bermula RM125,800 dengan penawaran remat sehingga RM7,000.