Skechers 1 Utama Kini Berwajah Baharu – Menampilkan Ruang Menarik Seperti Mesin SafeSize, Skechers DIY Dan Banyak Lagi

June 15, 2026
Fesyen

Lina Rosli

Skechers Malaysia kini membuka semula cawangan butik mercu mereka di 1 Utama Shopping Centre dengan memperkenalkan konsep World of Sports buat julung kalinya di Malaysia.

Ruang baharu ini menampilkan keluasan butik sebesar 9,207 kaki persegi – yang direka untuk memudahkan pelanggan menerokai pelbagai kategori kasut, pakaian dan aksesori sukan serta gaya hidup di bawah satu bumbung.

Bagi yang tidak mengetahui, butik mercu Skechers di 1 Utama ini terletak di Lot G117 hingga G119. Ia menampilkan susun atur butik yang berasaskan kategori sukan dan gaya hidup.

Dengan ini, pelanggan boleh terus menuju ke zon yang bersesuaian dengan aktiviti mereka tanpa perlu mencari di seluruh kedai, menjadikan pengalaman membeli-belah lebih mudah dan teratur.

Antara zon yang diketengahkan ialah bahagian Running yang menampilkan siri AERO seperti Razor, Burst, Spark dan Pulse. Bagi mereka yang mengutamakan keselesaan ketika berjalan, zon Walking menawarkan siri Max Cushioning serta kasut popular Hands Free Slip-ins.

Skechers turut memberi perhatian kepada sukan yang semakin mendapat tempat seperti pickleball menerusi zon khas yang mempamerkan model Viper Court Elite 2.0 dan Skechers Viper Court Pro 2.0.

Selain itu, terdapat juga bahagian untuk produk Foamies, Lifestyle, Kids, Golf serta rangkaian pakaian prestasi yang sesuai untuk latihan dan gaya hidup aktif.

Salah satu tarikan utama di butik ini ialah mesin SafeSize, teknologi pengimbasan kaki yang boleh menganalisis saiz dan bentuk kaki pelanggan sebelum mencadangkan padanan kasut Skechers yang paling sesuai. Ini membantu pengguna mendapatkan keselesaan yang lebih baik berdasarkan ukuran kaki mereka sendiri.

Turut diperkenalkan ialah ruang Skechers DIY – Your Style, di mana pelanggan boleh memperibadikan kasut mereka menggunakan pelbagai pilihan aksesori seperti charms, manik dan tali kasut.

Bagi pakaian, terdapat stesen heat press yang membolehkan cetakan pelekat khas ditambah bagi menghasilkan rekaan yang lebih unik mengikut cita rasa sendiri.

Dengan ini, pembukaan semula butik ini turut memperkukuhkan kedudukan 1 Utama sebagai antara lokasi utama Skechers di Malaysia, dengan menawarkan salah satu pilihan produk yang paling lengkap merangkumi kasut prestasi, fesyen harian dan aksesori untuk pelbagai gaya hidup.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd