Koleksi MCM x ATEEZ MINGI – FIX ON Kini Ditawarkan Di Pavilion KL, TRX Dan The Gardens Mall

June 15, 2026
Fesyen

Lina Rosli

MCM meraikan ulang tahunnya yang ke-50 dengan memperkenalkan koleksi kapsul MCM x ATEEZ with MINGI – FIX ON, hasil kolaborasi bersama MINGI daripada kumpulan K-pop popular ATEEZ.

Bagi yang tidak mengetahui, koleksi ini memfokuskan kepada gabungan elemen fesyen dan muzik – yang menekankan tentang ekspresi diri serta identiti individu.

Koleksi FIX ON menampilkan pelbagai produk ikonik MCM yang diberikan nafas baharu melalui rekaan grafik berani dan sentuhan artistik yang diinspirasikan daripada mesej peribadi MINGI mengenai keyakinan terhadap diri sendiri.

Antara yang diketengahkan termasuk beg galas, beg silang badan dan Boston bag dengan perincian bercorak lukisan yang menjadikan setiap rekaan lebih menyerlah.

Selain aksesori, koleksi ini turut merangkumi pakaian seperti kemeja-T, hoodie berzip dan topi yang direka untuk melengkapkan gaya harian dengan sentuhan moden.

Gabungan rekaan klasik MCM dan elemen kontemporari menjadikan koleksi ini sesuai untuk peminat fesyen mahupun penggemar K-pop.

Menariknya, koleksi ini turut muncul dalam projek solo LP MINGI yang dilancarkan pada Mei lalu, termasuk pada imej kulit album dan video muzik, sekaligus mengukuhkan hubungan antara dunia muzik dan fesyen yang menjadi inspirasi utama kolaborasi ini.

Bagi pengguna di Malaysia, koleksi MCM x ATEEZ with MINGI – FIX ON kini boleh didapati di butik MCM di Pavilion Kuala Lumpur, The Exchange TRX dan The Gardens Mall bermula 7 Jun.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd