Carlo Rino Memperkenalkan Koleksi Edisi Khas Supergirl
Lina Rosli
Baru-baru ini, Carlo Rino dilihat hadir dengan koleksi istimewa Supergirl iaitu koleksi edisi khas yang diinspirasikan daripada watak adiwira ikonik DC, Supergirl.
Koleksi ini direka khusus untuk wanita moden yang yakin dan berani menonjolkan personaliti, koleksi ini menggabungkan elemen fesyen harian dengan sentuhan dunia adiwira.
Koleksi ini menampilkan empat produk utama iaitu beg sandang, wristlet, topi (cap) dan kasut sneaker.

Untuk beg sandang dan wristlet, ia ditawarkan dalam dua pilihan warna, menggunakan material nilon ringan yang sesuai untuk kegunaan harian sambil mengekalkan gaya sporty dan praktikal.
Setiap rekaan turut dihiasi dengan elemen ikonik Supergirl seperti logo “S” Shield dan penjenamaan khas watak tersebut.


Bukan itu sahaja, beg sandang ini juga didatangkan dengan hangtag istimewa yang memaparkan nama Kara Zor-El, identiti asal Supergirl dalam siri DC, sekaligus menjadikannya lebih bermakna untuk peminat.
Bagi melengkapkan koleksi, Carlo Rino turut memperkenalkan topi dengan rekaan kasual yang menampilkan sentuhan inspirasi Supergirl secara minimalis, manakala sneaker berwarna putih pudar dengan aksen merah hati direka untuk memberikan keseimbangan antara gaya harian dan elemen adiwira.
Bagi yang berminat, koleksi Carlo Rino Supergirl Special Edition telahpun ditawarkan di butik Carlo Rino terpilih serta melalui platform atas talian.

Pelancarannya turut bersempena tayangan filem Supergirl yang dijadualkan memasuki pawagam bermula 26 Jun 2026, menjadikannya pilihan menarik untuk peminat DC yang ingin menambah koleksi fesyen bertemakan adiwira.