UNIQLO Hadir Dengan 5 Rekaan Baharu PEACE FOR ALL – Lebih 10 Juta T-Shirt Terjual Di Seluruh Dunia
Lina Rosli
UNIQLO mengumumkan lima rekaan baharu untuk projek amal PEACE FOR ALL, yang kini boleh didapati di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Inisiatif yang diperkenalkan sejak 2022 itu terus mendapat sambutan apabila lebih 10 juta helai t-shirt berjaya dijual, sekaligus menyumbang kira-kira RM79 juta kepada organisasi amal setakat akhir April 2026.
Bagi koleksi terbaharu ini, UNIQLO bekerjasama dengan beberapa tokoh dan organisasi terkenal termasuk pelakon Ke Huy Quan, pengarah filem Sofia Coppola, Displacement Film Fund (DFF), pencipta Miffy Dick Bruna serta francais komik PEANUTS.

Rekaan oleh Ke Huy Quan menampilkan mesej “Keep Smiling” bersama ilustrasi wajah tersenyum yang sering digunakannya ketika memberi autograf, sebagai simbolik kepada sikap positif walaupun berdepan cabaran.
Sofia Coppola pula memilih imej seekor angsa yang sedang berenang dengan mesej tulisan tangan “Peace for All”, melambangkan ketenangan dan harapan.
Sementara itu, Displacement Film Fund menghasilkan rekaan berasaskan perkataan berkaitan keamanan yang dikongsi oleh pembikin filem yang menerima sokongan daripada organisasi tersebut.
UNIQLO turut memperkenalkan rekaan baharu daripada Miffy dan PEANUTS yang membawa tema kasih sayang, persahabatan dan kekeluargaan, selari dengan semangat projek PEACE FOR ALL.
Di Malaysia, t-shirt PEACE FOR ALL dijual pada harga RM59.90 dengan pilihan saiz XS hingga XXL, manakala saiz yang tersedia di kedai fizikal adalah daripada S hingga XL.
Koleksi ini boleh didapati di semua cawangan UNIQLO terpilih serta menerusi kedai dalam talian jenama tersebut.