Churri’s Bodega Dibuka Di Bangsar – Menawarkan Churros Pada Harga Bermula RM3.90

June 23, 2026
Gaya Hidup

Lina Rosli

Khusus untuk penggemar churros, nampaknya anda boleh menambah Churri’s Bodega ke dalam senarai destinasi pencuci mulut baharu yang boleh diterokai.

Menampilkan variasi pilihan churros dengan pelbagai perisa, Churri’s Bodega hadir dengan pengalaman menjamu selera menyeronokkan.

Jenama ini dilihat memberikan nafas baharu kepada churros klasik menerusi pelbagai olahan perisa dan menu yang unik.

Bagi yang tidak mengetahui, jenama ini dibina berdasarkan dua watak utama iaitu Churri dan Grandpa.

Di sini, Grandpa digambarkan sebagai pakar churros yang mementingkan tradisi serta ketelitian dalam penyediaan. Manakala Churri pula merupakan penggemar churros yang bereksperimen dengan idea baharu dan gabungan rasa yang luar biasa.

Di Churri’s Bodega, antara meny yang menjadi tumpuan ialah Churronut, gabungan churros dan donut yang hadir dalam pelbagai pilihan perisa seperti Pandan Chocolate dengan Coconut Flakes, Caramel bersama Dried Strawberry, White Chocolate dengan Raspberry serta Dark Chocolate bersama Almond.

Selain itu, terdapat juga Churronut Sand yang menampilkan tekstur lembut dengan isian coklat, Oreo dan krim vanila untuk pengalaman menikmati pencuci mulut yang lebih memuaskan.

Bagi mereka yang lebih menggemari rasa tradisional, Churri’s Bodega turut menawarkan churros klasik yang disediakan segar setiap hari. Ia boleh dinikmati dalam pilihan asli, coklat dan red velvet – lengkap dengan taburan kayu manis atau gula aising.

Selain pencuci mulut, pengunjung juga boleh memilih pelbagai jenis minuman termasuk kopi panas dan sejuk, minuman coklat, soda, matcha serta teh. Kombinasi ini menjadikan Churri’s Bodega sesuai sebagai lokasi santai untuk menikmati hidangan bersama keluarga atau rakan-rakan.

Bukan sekadar menawarkan makanan, ruang dalaman Churri’s Bodega turut direka dengan elemen interaktif dan mesra fotografi. Pelbagai dekorasi bertemakan kisah Churri dan Grandpa, mesej tersembunyi serta kejutan kecil di sekitar kedai menjadikan kunjungan ke sini lebih menarik.

Sempena pembukaan rasminya, pelanggan yang membuat pembelian dari 23 Jun hingga 31 Julai 2026 berpeluang menerima Bad Fortune Card yang mengandungi “ramalan malang” versi nakal daripada Churri berserta tawaran kejutan istimewa.

Promosi ini ditawarkan kepada 30 pelanggan pertama setiap hari.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd