LG Subscribe Perluas Akses Pemilikan Peralatan Pintar Rumah – Kini Milik 130 Cawangan
Lina Rosli
LG Electronics Malaysia terus mengembangkan perkhidmatan LG Subscribe dengan pembukaan LG Subscribe Brand Store yang ke-130 di Sunway Pyramid Shopping Mall.
Pencapaian ini dilihat mengukuhkan kedudukannya sebagai rangkaian kiosk pelan sewa-beli peralatan pintar rumah berjenama terbesar dan paling meluas di Malaysia berdasarkan jumlah cawangan.
Bagi yang tidak mengetahui, konsep ini telahpun ditawarkan sejak tahun 2019 menerusi sebuah kiosk berjenama tunggal. LG Subscribe memperkenalkan konsep pemilikan peralatan pintar rumah melalui pelan sewa-beli yang lebih fleksibel.
Walaupun berdepan cabaran sepanjang tempoh pandemik dan ketidaktentuan ekonomi, perkhidmatan ini terus berkembang sejajar dengan peningkatan permintaan pengguna.

Kini, LG Subscribe mempunyai 130 cawangan di seluruh negara yang merangkumi 58 lokasi di Lembah Klang, 29 di wilayah Utara, 23 di Selatan, 15 di Sabah dan Sarawak serta lima di Pantai Timur.
Jaringan yang meluas ini memudahkan lebih ramai pengguna mendapatkan akses kepada pelbagai peralatan pintar rumah LG bersama pelan pembayaran yang lebih mudah.
Menariknya, setiap LG Subscribe Brand Store turut dilengkapi dengan Zon Perkhidmatan Penyelenggaraan khas yang membolehkan pelanggan mendapatkan maklumat mengenai penjagaan produk, penggantian penapis dan servis penyelenggaraan.
Inisiatif ini bertujuan meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap perkhidmatan selepas jualan yang ditawarkan.
Selain itu, kakitangan di setiap cawangan juga memanfaatkan platform digital seperti sesi siaran langsung di TikTok untuk berinteraksi dengan pengguna dan memperluaskan pengalaman membeli-belah di luar premis fizikal.

Bersempena pembukaan cawangan baharu ini, LG turut memperkenalkan Filter Drop Campaign, iaitu kempen yang menggalakkan pelanggan pelan sewa-beli menghantar penapis terpakai mereka ke LG Subscribe Brand Store untuk dilupuskan secara bertanggungjawab.
Pelanggan yang mengambil bahagian juga akan menerima hadiah percuma sebagai penghargaan atas penyertaan mereka.
Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen kelestarian LG yang merangkumi keseluruhan kitaran hayat produk. Kebanyakan peralatan pintar rumah yang ditawarkan melalui LG Subscribe menggunakan teknologi inverter yang direka untuk memberikan prestasi cekap sambil mengurangkan penggunaan tenaga, sekaligus membantu mengurangkan impak terhadap alam sekitar.