Monster Curry Buka Cawangan Kedua Di 1 Utama Shopping Centre

June 26, 2026
Makanan & Minuman

Lina Rosli

Monster Curry dilihat telah mengembangkan kehadirannya di Malaysia dengan pembukaan cawangan kedua di 1 Utama Shopping Centre, Petaling Jaya.

Langkah ini dibuat selepas sambutan menggalakkan yang diterima sejak pembukaan cawangan pertamanya di The Gardens Mall pada Januari lalu.

Bagi yang tidak mengetahui, ia merupakan jenama restoran kari Jepun dari Singapura yang menawarkan variasi pilihan makanan seperti kari demi-glace istimewa dan sajian bersaiz besar yang menjadi identiti jenama tersebut.

Bagi meraikan pembukaan ini, Monster Curry menawarkan promosi beli 1 percuma 1 selama empat hari bermula 8 hingga 11 Julai 2026. Pelanggan boleh memilih mana-mana dua hidangan terpilih iaitu Chicken Katsu Curry yang biasanya dijual pada harga RM25.90 atau Chicken Karaage Curry berharga RM24.90.

Promosi ini hanya sah untuk pelanggan yang makan di restoran di 1 Utama dan tidak boleh digabungkan dengan tawaran lain.

Salah satu keunikan Monster Curry ialah saiz hidangannya yang lebih besar daripada kebiasaan. Hidangan individu disajikan di atas pinggan berukuran 35 sentimeter, manakala pilihan untuk dikongsi menggunakan pinggan gergasi 41 sentimeter yang sesuai dinikmati bersama keluarga atau rakan-rakan.

Setiap hidangan menggunakan sos demi-glace buatan sendiri yang dimasak perlahan menggunakan gabungan 14 jenis sayuran dan rempah, menghasilkan rasa yang kaya dan seimbang. Pelanggan juga boleh memilih tahap kepedasan mengikut cita rasa masing-masing daripada tidak pedas sehingga tahap lima.

Antara menu yang menjadi tumpuan ialah Super Monster Combo berharga RM68.90 yang didatangkan dengan pelbagai pilihan lauk termasuk daging teppanyaki, chicken katsu, filet ikan goreng, ebi fry, telur dadar dan keju mozzarella yang dipanggang, semuanya dihidangkan bersama nasi dan sos kari istimewa dalam satu pinggan bersaiz besar.

Selain hidangan kari, restoran ini turut menawarkan pilihan Curry Ramen, pasta fusion, pencuci mulut seperti Honey Toast dan Homemade Egg Pudding serta minuman seperti Strawberry Lemonade dan Yuzu Orange Lemonade.

Cawangan di 1 Utama juga memperkenalkan menu kafe yang lebih lengkap dengan pilihan kopi, teh Jepun serta minuman berasaskan matcha dan houjicha.

Turut tersedia ialah siri Monster Crepes Lab seperti Strawberry Sundae Crepe (RM19.90), Oreo Crunch Crepe (RM17.90), Apple Cinnamon Crepe (RM20.90) dan Matcha Mochi Red Bean Crepe (RM22.90). Bagi pelanggan yang ingin membawa pulang, beberapa pilihan crepe, minuman dan pencuci mulut juga disediakan untuk dibeli secara bawa pulang.

Dengan pembukaan cawangan baharu ini, Monster Curry terus mengukuhkan kedudukannya di Malaysia sambil menawarkan pengalaman menjamu selera yang menggabungkan hidangan Jepun, saiz hidangan yang mengenyangkan dan pelbagai pilihan menu untuk seisi keluarga.

Untuk lokasi kedua ini, Monster Curry terletak di Lot S131, aras 2 di 1 Utama Shopping Centre, Petaling Jaya.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd