Cara Mudah Kembalikan Kilauan Aksesori Sterling Silver Yang Kusam

June 26, 2026
Tips

Lina Rosli

Aksesori sterling silver seperti cincin, rantai dan gelang sememangnya menjadi pilihan ramai kerana reka bentuknya yang elegan serta mudah dipadankan dengan pelbagai gaya.

Namun, selepas digunakan atau disimpan dalam tempoh tertentu, permukaannya mungkin mula kelihatan kusam atau bertukar gelap.

Keadaan ini sebenarnya adalah proses semula jadi yang dikenali sebagai tarnish, iaitu tindak balas antara permukaan perak dengan unsur di udara seperti sulfur dan kelembapan.

Walaupun rupanya berubah, ia tidak bermakna aksesori tersebut telah rosak.

Dan tahukah anda bahawa, untuk aksesori sterling silver yang kusam ini, anda tidak perlu menghantarnya ke kedai untuk dipulihkan atau polish menggunakan bahan pencuci yang mahal?

Dengan hanya menggunakan soda penaik, aksesori sterling silver boleh kembali berkilau.

Cara Membersihkan Sterling Silver Menggunakan Soda Penaik

Mulakan dengan menyediakan pes daripada campuran sedikit serbuk soda penaik dan beberapa titis air sehingga teksturnya menjadi pekat.

Kemudian, ambil kain lembut seperti kain mikrofiber dan sapukan sedikit pes tersebut pada bahagian aksesori yang kusam. Gosok secara perlahan menggunakan gerakan membulat sehingga kesan hitam atau kotoran mula tertanggal pada kain.

Selepas selesai, bilas aksesori menggunakan air bersih dan keringkan sepenuhnya dengan kain yang bersih dan lembut.

Proses ini biasanya hanya mengambil masa sekitar lima minit, bergantung pada tahap kekusaman aksesori.

Bagi memastikan aksesori sterling silver tahan lebih lama, simpan ia di tempat yang kering dan kedap udara apabila tidak digunakan.

Elakkan juga pendedahan berpanjangan kepada bahan kimia seperti minyak wangi, losen atau produk pembersih kerana ia boleh mempercepatkan proses tarnish.

Dengan penjagaan yang betul dan kaedah pembersihan yang mudah, aksesori sterling silver anda boleh terus kelihatan bersih dan berkilau tanpa memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd