Volvo Car Malaysia Memperkenalkan Volvo Wallbox – Pengecas Pintar Untuk Rumah Pada Harga RM3,990

June 29, 2026
Automotif

Lina Rosli

Volvo Car Malaysia memperkenalkan Volvo Wallbox, pengecas pintar yang direka khas untuk pemilik kenderaan elektrik (BEV) dan hibrid plug-in (PHEV) Volvo.

Untuk pengecas ini, ia bukan sekadar menawarkan pengecasan di rumah, malah hadir dengan pelbagai ciri pintar bagi memudahkan rutin harian pemilik – dan wallbox direka sendiri oleh Volvo.

Dengan rekaan minimalis berinspirasikan Scandinavia, Volvo Wallbox menyokong pengecasan sehingga 11 kW menerusi pemasangan tiga fasa. Ia juga dibina untuk kegunaan luar dengan penarafan kalis cuaca IP55, membolehkan pengguna mengecas kenderaan dengan selamat tanpa mengira keadaan cuaca.

Setiap unit turut didatangkan bersama kabel pengecas Type 2.

Salah satu kelebihan utama Volvo Wallbox ialah integrasinya dengan aplikasi Volvo Cars.

Melalui sambungan Wi-Fi, Ethernet atau kad SIM (pilihan), pengguna boleh memantau status pengecasan, memulakan atau menghentikan sesi pengecasan, serta menetapkan jadual pengecasan bagi membantu mengurus penggunaan tenaga elektrik dengan lebih cekap.

Bagi isi rumah yang mempunyai lebih daripada seorang pemandu, Volvo Wallbox turut dilengkapi dengan dua kad RFID. Ciri ini membolehkan akses pengecasan dikongsi secara selamat antara ahli keluarga atau pengguna lain yang dibenarkan.

Volvo turut menyediakan Wallbox ini sebagai penyelesaian jangka panjang. Ia boleh disambungkan kepada meter tenaga luaran untuk memanfaatkan lebihan tenaga daripada sistem solar di rumah, sekali gus membantu pengguna mengoptimumkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

Volvo Wallbox kini ditawarkan di semua pengedar sah Volvo di Malaysia pada harga RM3,990 dengan jaminan perkakasan selama 36 bulan.

Bagi pemasangan di rumah, Volvo bekerjasama dengan EV Connection Sdn Bhd yang menawarkan pakej pemasangan profesional bermula daripada RM1,600, bergantung kepada keperluan pemasangan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd