Ketahui Tanda Awal Skoliosis Dalam Kalangan Kanak-Kanak
Lina Rosli
Tidak dinafikan, terdapat banyak faktor yang boleh menjurus kepada kesan jangka panjang postur tubuh yang kurang baik. Dan antara faktor paling utama adalah disebabkan oleh tabiat kerap membongkok ketika duduk dan berdiri, serta faktor lain seperti membawa beg yang berat pada mana-mana bahagian bahu.
Akibatnya, ia menjadikan individu, terutamanya kanak-kanak mengalami masalah skoliosis – iaitu keadaan yang menyebabkan tulang belakang melengkung secara tidak normal.

Menurut Pakar Bedah Robotik dan Tulang Belakang, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), Dr. Saw Lim Beng, skoliosis bukan sekadar masalah postur. Ia merupakan keadaan yang menyebabkan tulang belakang melengkung dan berpusing, sekaligus menjejaskan keseimbangan badan.
Dalam kebanyakan kes, kesan daripada tabiat yang duduk dan berdiri yang buruk, ia secara perlahan-lahan menyebabkan perubahan pada postur tubuh – yang mana keadaan ini pada awalnya tidak menyebabkan kesakitan atau kerengsaan.
Mengapa Kanak-Kanak Perlu Berhati-Hati Dengan Tabiat Postur Yang Buruk?
Tempoh antara usia 10 hingga 15 tahun merupakan fasa yang paling penting kerana ketika inilah kanak-kanak mengalami pertumbuhan yang pesat.
Dalam tempoh tersebut, lengkungan yang pada awalnya kecil boleh menjadi semakin ketara dalam masa yang singkat jika tidak dipantau.

Oleh sebab itu, pemeriksaan susulan secara berkala amat penting bagi kanak-kanak yang telah didiagnosis dengan skoliosis. Pemantauan awal membolehkan rawatan dimulakan sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Walaupun skoliosis tidak semestinya menyebabkan kesakitan pada peringkat awal, perubahan fizikal seperti bahu atau pinggul yang tidak sama tinggi, badan yang kelihatan senget serta tulang rusuk yang lebih menonjol boleh mula kelihatan apabila keadaan bertambah teruk.
Selain kesan fizikal, skoliosis juga boleh memberi kesan kepada emosi dan keyakinan diri. Ada kanak-kanak dan remaja yang mula berasa malu dengan bentuk badan mereka sehingga memilih pakaian longgar atau mengelakkan aktiviti sosial kerana kurang yakin dengan penampilan diri.
Dr. Saw turut menjelaskan bahawa sekitar 80 hingga 90 peratus kes skoliosis adalah idiopatik, iaitu puncanya masih belum diketahui.
Ini bermakna postur yang tidak betul atau membawa beg sekolah yang berat bukanlah penyebab kepada kelengkungan tulang belakang, walaupun kedua-duanya boleh menyebabkan ketidakselesaan pada bahagian belakang.

Teknologi Moden Dalam Mengawal Perkembangan Skoliosis
Khabar baiknya, pengesanan awal boleh membantu mengelakkan keperluan menjalani pembedahan. Rawatan pada peringkat awal biasanya melibatkan pemakaian pendakap khas bagi mengawal perkembangan lengkungan, fisioterapi serta pemantauan berkala sepanjang tempoh tumbesaran.
Perkembangan teknologi juga membolehkan penggunaan pendakap 3D yang direka mengikut bentuk badan pesakit serta program fisioterapi yang lebih khusus bagi membantu menstabilkan penjajaran tulang belakang.
Pembedahan lazimnya hanya dipertimbangkan apabila lengkungan menjadi lebih teruk, kebiasaannya melebihi 45 darjah atau apabila terdapat perkembangan yang ketara.
Menurut Dr. Saw, kemajuan dalam teknologi pengimejan, perancangan pembedahan dan sistem bantuan robotik kini membantu pakar bedah merancang rawatan dengan lebih tepat bagi kes-kes tertentu. Walau bagaimanapun, pembedahan tetap menjadi pilihan terakhir selepas kaedah lain tidak lagi mencukupi.

Beliau turut mengingatkan bahawa kelewatan mendapatkan pemeriksaan boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih sukar dirawat. Ramai ibu bapa berharap keadaan akan pulih sendiri, sedangkan lengkungan tulang belakang boleh terus berkembang sepanjang tempoh tumbesaran.
Antara tanda awal yang boleh diperhatikan termasuk:
- Bahu yang tidak sama tinggi.
- Pakaian yang kelihatan senget apabila dipakai.
- Tulang rusuk yang lebih menonjol ketika anak membongkok ke hadapan.
- Badan yang condong ke satu sisi.
- Pelvis yang kelihatan tidak seimbang ketika berjalan.
Jika terdapat sebarang perubahan seperti ini, pemeriksaan oleh doktor adalah langkah yang disarankan.
Sempena Bulan Kesedaran Skoliosis yang disambut pada Jun, ibu bapa digalakkan untuk lebih peka terhadap perubahan pada postur anak.
Pengesanan awal dan rawatan yang tepat pada masanya mampu membantu mengawal perkembangan skoliosis serta memberikan kualiti hidup yang lebih baik kepada kanak-kanak yang mengalaminya.