5 Salah Faham Tentang Vitiligo Yang Masih Ramai Percaya
Lina Rosli
Tahukah anda setiap tahun pada tanggal 25 Jun merupakan Hari Vitiligo Sedunia?
Hari ini disambut bagi meningkatkan kesedaran tentang vitiligo, satu keadaan autoimun yang masih sering disalah fahami walaupun menjejaskan berjuta-juta individu di seluruh dunia.
Vitiligo berlaku apabila sistem imun menyerang melanosit, iaitu sel yang menghasilkan pigmen kulit. Akibatnya, tompok putih akan muncul pada bahagian tertentu badan.

Keadaan ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira umur, jantina atau latar belakang, dan dianggarkan menjejaskan sekitar 0.5 hingga 2 peratus populasi dunia.
Walaupun vitiligo tidak mengancam nyawa, kesannya bukan sekadar melibatkan perubahan warna kulit. Bagi sesetengah individu, ia turut memberi kesan terhadap keyakinan diri, emosi dan kehidupan seharian.
Ini 5 Mitos Tentang Masalah Kulit Vitiligo
Antara salah faham yang paling biasa ialah menganggap vitiligo hanyalah masalah kosmetik.
Hakikatnya, vitiligo merupakan penyakit autoimun dan ada individu yang turut mengalami penyakit autoimun lain seperti gangguan tiroid, artritis reumatoid, psoriasis, diabetes jenis 1 serta lupus.
Oleh itu, vitiligo tidak seharusnya dilihat sebagai isu penampilan semata-mata.

Satu lagi tanggapan yang masih wujud ialah vitiligo boleh berjangkit. Ini merupakan mitos yang sering menyebabkan individu dengan vitiligo berdepan layanan berbeza, termasuk dipandang pelik, dijauhi atau menerima pelbagai pertanyaan yang tidak menyenangkan.
Hakikatnya, vitiligo langsung tidak berjangkit. Ia tidak boleh disebarkan melalui sentuhan, perkongsian makanan atau sebarang bentuk interaksi harian.
Namun, salah faham ini masih menjadi antara penyumbang utama kepada stigma yang dihadapi pesakit.

Ramai juga beranggapan vitiligo hanya menjejaskan kulit dan tidak memberi kesan kepada kesihatan mental. Walaupun keadaan ini tidak menyebabkan kesakitan fizikal, perubahan yang berlaku pada bahagian tubuh yang mudah dilihat boleh menjejaskan keyakinan diri dan imej badan.
Kajian turut menunjukkan individu yang hidup dengan vitiligo mempunyai risiko lebih tinggi mengalami keresahan, kemurungan dan tekanan emosi berbanding populasi umum.
Kesan psikologi ini boleh menjadi lebih ketara dalam kalangan wanita serta individu yang mempunyai tona kulit lebih gelap kerana tompok putih lebih jelas kelihatan. Justeru, penjagaan vitiligo bukan sahaja melibatkan rawatan kulit, malah turut memerlukan sokongan emosi dan psikologi.

Terdapat juga tanggapan bahawa vitiligo tidak boleh dirawat. Walaupun belum ada penawar yang dapat menyembuhkan sepenuhnya, pelbagai pilihan rawatan kini tersedia untuk membantu memperlahankan perkembangan penyakit dan menggalakkan penghasilan semula pigmen kulit bagi sesetengah individu.
Antaranya termasuk ubat sapuan, terapi sasaran dan fototerapi. Keberkesanan rawatan bergantung kepada keadaan setiap individu, justeru perbincangan bersama doktor penting bagi menentukan pendekatan yang paling sesuai.
Satu lagi perkara yang sering diabaikan ialah kesan cahaya matahari terhadap kulit yang mengalami vitiligo. Bahagian kulit yang kehilangan pigmen tidak lagi mempunyai perlindungan semula jadi daripada sinaran ultraviolet, sekaligus lebih mudah mengalami selaran matahari.
Penggunaan pelindung matahari dengan SPF sekurang-kurangnya 30 serta pakaian yang melindungi kulit amat disarankan ketika berada di luar.

Menurut Pakar Perubatan Keluarga dan Pensyarah Kanan, Sekolah Perubatan, Fakulti Kesihatan dan Sains Perubatan, Taylor’s University, Dr. Punithavathy Shanmuganathan, cabaran terbesar bagi individu yang hidup dengan vitiligo sering kali bukanlah keadaan itu sendiri, sebaliknya salah faham masyarakat terhadapnya.
Beliau menjelaskan bahawa pendidikan memainkan peranan penting dalam menghapuskan stigma serta meningkatkan kefahaman masyarakat. Setiap individu berhak dilayan dengan hormat dan bermaruah tanpa mengira warna atau keadaan kulit mereka.
Sempena Hari Vitiligo Sedunia, kesedaran yang lebih meluas diharapkan dapat membantu mewujudkan masyarakat yang lebih memahami, menerima dan menghargai perbezaan yang wujud dalam kalangan kita.