Volkswagen Malaysia Tawar Rim Edisi Terhad Untuk 50 Unit Golf GTI Sempena Ulang Tahun Ke-50

July 1, 2026
Automotif

Lina Rosli

Sempena sambutan ulang tahun ke-50 Golf GTI, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hadir dengan penawaran naik taraf eksklusif iaitu rim aloi Huntsville Adamantium Dark untuk model hot hatch ikonik itu.

Naik taraf ini ditawarkan secara percuma kepada 50 unit baharu Golf GTI terpilih tanpa sebarang kos tambahan – menjadikan model Golf GTI ini kekal dijual pada harga RM255,990.

Untuk pengetahuan anda, rim yang ditawarkan ini merupakan rim aloi yang bersaiz 18-inci yang juga tampil dengan kemasan gelap serta reka bentuk lima jejari berbentuk Y. Dengan ini, ia sekaligus menjadikan rim ini kelihatan lebih sporty dan edgy di atas jalan raya.

Melengkapkannya adalah angkup brek ikonik GTI berwarna merah.

Pengenalan rim edisi terhad ini merupakan sebahagian daripada sambutan global GTI 50, yang meraikan lima dekad sejak Golf GTI pertama diperkenalkan pada tahun 1976.

Sejak dilancarkan, Golf GTI menjadi antara model paling ikonik dalam segmen hot hatch dengan gabungan prestasi, praktikaliti dan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan.

Model yang pada asalnya dibangunkan sebagai projek kecil oleh sekumpulan jurutera Volkswagen itu kini menjadi antara nama paling dikenali dalam dunia automotif.

Di Malaysia, sambutan GTI 50 akan diteruskan sepanjang tahun menerusi pelbagai aktiviti termasuk kempen media sosial dan acara di pengedar sah Volkswagen di seluruh negara.

Volkswagen Malaysia turut menganjurkan kempen Test Drive and Win, yang menawarkan peluang kepada pelanggan memenangi kad Touch ‘n Go GTI edisi terhad apabila memandu uji mana-mana model Volkswagen sebelum 12 Julai 2026.

Bagi yang berminat, rim Huntsville Adamantium Dark kini boleh dilihat di pengedar sah Volkswagen di seluruh negara.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd