M·A·C Lancar Colourstruck Blush Skinfinish Dengan 29 Pilihan Warna Baharu
Lina Rosli
M·A·C, jenama kosmetik popular global, baru-baru ini memperkenalkan rangkaian pemerah pipi terbaharu, Colourstruck Blush Skinfinish.
Pemerah pipi ini hadir dengan 29 pilihan warna untuk memenuhi pelbagai gaya solekan. Koleksi ini menampilkan rona-rona yang dipilih oleh jurusolek profesional, termasuk warna ikonik seperti Velvet Teddy dan Melba.

Rangkaian ini menawarkan dua pilihan kemasan, iaitu matte semula jadi dan radiant, membolehkan pengguna memilih hasil solekan mengikut cita rasa masing-masing sama ada untuk penampilan harian atau solekan yang lebih menyerlah.
Colourstruck Blush Skinfinish menggunakan formula serbuk yang lembut dengan tekstur halus serta mudah disapu dan diadun pada kulit. Formulanya juga membolehkan warna dibina secara berlapis tanpa kelihatan bercapuk, sekali gus menghasilkan kemasan yang lebih sekata.



Menurut M·A·C, pemerah pipi ini menawarkan ketahanan sehingga 12 jam dengan warna yang kekal menyerlah sepanjang hari.
Selain itu, ia turut mempunyai formula kalis air, tidak menyebabkan kulit terasa kering dan telah diuji oleh pakar dermatologi. Produk ini juga bersifat non-comedogenic, iaitu tidak menyumbat liang pori.
Bagi yang berminat, M·A·C Colourstruck Blush Skinfinish dijual pada harga RM148 seunit. Dan koleksi ini kini boleh didapati di semua butik M·A·C di Malaysia serta melalui platform atas talian rasmi jenama itu di Shopee, Lazada dan TikTok Shop.