Huda Beauty Memperkenalkan Liquid Matte Mousse Dengan Formula Soft Matte Baharu
Lina Rosli
Hampir sedekad selepas memperkenalkan gincu cecair matte ikoniknya, Huda Beauty kini kembali dengan inovasi terbaharu menerusi Liquid Matte Mousse, sebuah gincu matte yang tampil dengan formula lebih ringan, lembut dan selesa dipakai sepanjang hari.
Berbeza dengan formulasi terdahulu, Liquid Matte Mousse menggunakan tekstur whipped mousse yang memberikan kemasan soft matte dengan kesan kabur pada bibir. Ia direka untuk menghasilkan warna yang menyerlah tanpa membuatkan bibir terasa kering atau berat.

Menurut Huda Beauty, formula baharu ini membantu menyamarkan tekstur dan garisan halus pada bibir selain turut memberikan penampilan yang lebih munggil dan sekata setiap kali disapu.
Liquid Matte Mousse ini hadir dalam tiub yang boleh dipicit bersama aplikator bersudut lembut bagi memudahkan sapuan yang lebih tepat dan sekata.

Bukan itu sahaja, Huda Beauty turut mengesyorkan penggunaan Lip Contour 2.0, pensel bibir matte yang boleh digunakan bagi membentuk garis bibir sebelum menyapu Liquid Matte Mousse di bahagian tengah bibir dan mengadunnya ke luar.
Liquid Matte Mousse ditawarkan dalam lapan pilihan warna nude yang sesuai untuk pelbagai tona kulit dan gaya solekan.

Antara pilihan warna yang ditawarkan termasuklah warna baby pink, honey nude, rosy nude, mocha mauve, warm brown, bombshell pinky brown, berry brown dan rich brown.
Setiap warna yang ditawarkan mempunyai karakter yang tersendiri, daripada tona merah jambu lembut dan pic yang semula jadi sehingga ke warna coklat gelap serta plum yang dramatik.

Untuk tips menarik, bagi mendapatkan warna yang lebih menyerlah dan tekstur yang lebih baik, Huda Beauty menyarankan kepada pengguna untuk memastikan bibir berada di dalam keadaan lembap dan bebas daripada kulit mati dengan cara melakukan eksfoliasi ringan sebelum menggunakan gincu.
Bagi yang berminat, Huda Beauty Liquid Matte Mousse ditawarkan pada harga RM130, manakala Lip Contour 2.0 pula berharga RM115. Untuk mendapatkannya, kedua-dua produk ini boleh didapati di laman web rasmi Huda Beauty dan juga di semua butik Sephora Malaysia dan platform atas-taliannya.