Ahmad’s Fried Chicken Kini Dijenamakan Semula Sebagai Ahmad’s HotChicken

July 7, 2026
syarikat

Lina Rosli

Ahmad’s Fried Chicken, jenama makanan segera tempatan yang menawarkan hidangan ayam goreng, kini secara rasmi dijenamakan semula sebagai Ahmad’s HotChicken.

Penjenamaan semula ini diumumkan menerusi media sosial rasmi syarikat sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan identiti jenama. Bukan itu sahaja, penjenamaan semula ini turut melibatkan pembaharuan pada menu, pengalaman pelanggan serta penggunaan teknologi dalam operasi perniagaan.

Selari dengan slogan baharu, “Perfectly Fried. Dangerously Hot. Built Different.”, Ahmad’s HotChicken tampil dengan resipi ayam yang dipertingkatkan menerusi penggunaan perapan khas dan salutan tepung dua lapis bagi menghasilkan tekstur yang lebih rangup.

Bagi mereka yang gemar menikmati hidangan pedas, Ahmad’s HotChicken turut memperkenalkan sistem 5 tahap kepedasan yang membolehkan pelanggan memilih tahap kepedasan mengikut citarasa masing-masing.

Pilihan tersebut bermula dengan Scaredy Cat untuk mereka yang tidak gemar pedas, diikuti Lowkey, Mid, Nocap Hot, dan tahap paling ekstrem iaitu Reaper, yang menggunakan cili paling pedas di dunia iaitu Carolina Reaper.

Selain ayam goreng, setiap hidangan turut dilengkapi dengan Signature Sauce eksklusif Ahmad’s, iaitu sos berkrim yang menggabungkan rasa lemak, sedikit masam dan manis sebagai pelengkap kepada menu utama.

Bagi melengkapkan pilihan hidangan, jenama ini turut memperkenalkan Signature Mac & Cheese, menu sampingan premium yang menggunakan campuran tiga jenis keju dan dihiasi dengan hirisan beef bacon rangup.

Selain pembaharuan pada menu, Ahmad’s HotChicken turut memanfaatkan teknologi dalam operasinya.

Menurut jenama ini, Ahmad’s HotChicken menjadi antara jenama makanan segera pertama di Malaysia yang menggunakan CEO AI bagi membantu menguruskan operasi, pemasaran serta menjalankan analisis data untuk menyokong proses membuat keputusan.

Dengan ini, ia membolehkan syarikat bergerak dengan lebih pantas, membuat keputusan berasaskan data serta terus menambah baik pengalaman pelanggan sebagai sebahagian daripada usaha membina jenama makanan segera yang lebih moden.

Bagi yang tidak mengetahui, Ahmad’s HotChicken kini mempunyai lebih daripada 40 cawangan di seluruh Malaysia. Identiti baharu bersama menu yang dipertingkatkan ini mula diperkenalkan secara rasmi di semua cawangan bermula hari ini.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd