IKEA Damansara Menganjurkan Pesta Tonton Bola Sepak Seawal 3 Pagi
Lina Rosli
Bersempena musim bola terbesar yang sedang berlangsung pada bulan ini, IKEA Damansara nampaknya tidak ketinggalan dalam meraikan kemeriahan “demam bola” sebelum perlawanan akhir tiba.
Pada 15, 16 dan 20 Julai 2026, IKEA Damansara tampil dengan kelainan yang mana mereka menganjurkan SPARKA Football Fever – iaitu acara tontonan bola sepak secara langsung yang akan berlangsung seawal jam 3 pagi.
Menurut IKEA juga, acara ini diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-30 IKEA Malaysia, yang mana turut selari dengan permainan separuh akhir dan permainan akhir salah satu kejohanan bola sepak terbesar dunia.

Apa yang menarik, buat kali pertamanya, Restoran Sweden IKEA Damansara akan dibuka pada awal pagi bagi membolehkan peminat menikmati perlawanan secara langsung di skrin besar dalam suasana yang lebih meriah bersama komuniti peminat bola sepak.
Selain menyaksikan perlawanan, pengunjung yang mendaftar juga berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik. Mereka yang hadir pada ketiga-tiga malam tontonan pula akan layak menyertai cabutan hadiah utama serta beberapa aktiviti interaktif yang disediakan.
Kemasukan adalah percuma dan dibuka berdasarkan konsep siapa cepat, dia dapat, memandangkan kapasiti tempat adalah terhad bagi setiap malam.
- Tarikh: 15, 16 dan 20 Julai 2026
- Masa tontonan: 3.00 pagi
- Pintu dibuka: 12.00 tengah malam
- Lokasi: Restoran Sweden, IKEA Damansara