Apa Itu Ptosis? Masalah Kelopak Mata Jatuh Tidak Boleh Dipandang Remeh
Lina Rosli
Tahukah anda, jika sebelah mata kelihatan lebih kecil kerana kelopak matanya semakin menutupi anak mata, ia mungkin bukan sekadar masalah kosmetik ataupun perkara yang boleh dipandang remeh.
Keadaan ini dikenali sebagai ptosis, iaitu masalah kelopak mata atas yang jatuh sehingga boleh menjejaskan penglihatan.
Malah, dalam sesetengah keadaan, ia boleh menjadi petanda kepada gangguan otot, saraf atau penyakit lain yang lebih serius.

Apa Itu Ptosis?
Ptosis ialah keadaan apabila kelopak mata atas jatuh lebih rendah daripada kedudukan normal, sama ada pada sebelah atau kedua-dua belah mata.
Dan jika perkara ini dibiarkan berlarutan yang mana sehingga melibatkan kelopak mata menutupi sebahagian anak mata, ia boleh menghalang penglihatan dan menyukarkan aktiviti harian.
Untuk pengetahuan anda, keadaan ini boleh berlaku sejak lahir (ptosis kongenital) atau muncul apabila usia meningkat. Selain proses penuaan, ptosis juga boleh disebabkan oleh beberapa faktor seperti:
- kecederaan pada mata
- pembedahan mata
- penggunaan kanta lekap dalam tempoh yang lama
- tabiat menggosok mata secara kerap
- penyakit yang menjejaskan otot atau saraf
Individu yang mengalami ptosis juga mungkin mudah mengalami keletihan mata, sakit kepala serta sukar melakukan aktiviti seperti membaca, memandu atau menggunakan komputer.

Di Malaysia, Tinjauan Mata Kebangsaan III mendapati kira-kira 13.5% orang dewasa, khususnya mereka yang berusia lebih 60 tahun, mengalami masalah ini.
Menurut Dr. Nazila Ahmad Azli, Pakar Perunding Oftalmologi dan Pakar Bedah Okuloplastik di Pusat Perubatan Sunway Velocity, ptosis sering disalah anggap sebagai dermatochalasia, iaitu keadaan lebihan kulit pada kelopak mata atau hooded eyes.
Walaupun kedua-duanya menyebabkan mata kelihatan layu, puncanya berbeza dan memerlukan rawatan yang berlainan.
Tidak Semua Pembedahan Kelopak Mata Untuk Tujuan Kosmetik
Ramai menyangka semua pembedahan kelopak mata dilakukan untuk tujuan kecantikan. Sebenarnya, pembedahan bagi merawat ptosis berbeza daripada blepharoplasty.
Blepharoplasty biasanya dilakukan untuk membuang lebihan kulit atau lemak pada kelopak mata bagi memperbaiki penampilan. Sebaliknya, pembedahan ptosis bertujuan membaiki otot atau struktur yang mengangkat kelopak mata supaya fungsi penglihatan dapat dipulihkan.
Dalam sesetengah keadaan, kedua-dua prosedur ini boleh dilakukan serentak jika diperlukan.

Kelopak Mata Jatuh Secara Tiba-Tiba Tidak Boleh Dipandang Ringan
Punca ptosis perlu dikenal pasti sebelum rawatan diberikan. Jika kelopak mata jatuh secara beransur-ansur, ia lazimnya berkait dengan proses penuaan atau kelemahan otot.
Namun, jika ia berlaku secara tiba-tiba, pesakit perlu mendapatkan rawatan perubatan dengan segera.
Menurut Dr. Nazila, keadaan ini boleh menjadi petanda masalah kesihatan yang lebih serius seperti:
- strok
- aneurisma otak
- diseksi arteri karotid
- gangguan saraf
Bagi menentukan punca sebenar, doktor akan melakukan beberapa pemeriksaan seperti mengukur kedudukan kelopak mata, menilai fungsi otot pengangkat mata, memeriksa pergerakan mata dan jika perlu, pakar turut akan menjalankan ujian medan penglihatan.

Bagi kes yang ringan, pesakit mungkin hanya memerlukan pemantauan berkala. Namun, jika ptosis mula menjejaskan penglihatan atau aktiviti harian, pembedahan boleh dilakukan untuk mengembalikan kedudukan kelopak mata dan memperbaiki fungsi mata.
Selain mendapatkan pemeriksaan awal, beberapa amalan harian juga boleh membantu menjaga kesihatan mata seperti:
- mengelakkan tabiat menggosok mata
- menjaga kebersihan kanta lekap
- berehat secara berkala daripada penggunaan skrin
- merawat masalah mata kering menggunakan titisan mata yang sesuai
Akhir sekali, walaupun ramai menganggap kelopak mata jatuh sebagai sebahagian daripada proses penuaan, keadaan ini tidak wajar dipandang ringan.
Jika ia mengganggu penglihatan atau berlaku secara tiba-tiba, segera dapatkan pemeriksaan bagi mengenal pasti puncanya dan mengelakkan komplikasi yang lebih serius.