Hub Pengangkutan Baharu LaLaport BBCC Rasmi Dibuka – Tiket Bas Ke Singapura Bermula RM66 Seorang

July 16, 2026
Pengangkutan

Lina Rosli

Bagi anda yang sering berulang-alik ke Singapura atau mencari alternatif pengangkutan awam yang lebih selesa di tengah-tengah ibu kota, Mitsui Shopping Park LaLaport Bukit Bintang City Centre (LaLaport BBCC) secara rasminya telah melancarkan LaLaport Transportation Hub (LTH).

Menurut LaLaport BBCC, hub pengangkutan ini telahpun mendapat lesen rasmi daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) – yang mana ia dibina khas untuk menawarkan pengalaman perjalanan yang lancar, selamat dan teratur, terutamanya untuk laluan bas ekspres rentas sempadan antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Menariknya, hub ini sebenarnya telah mula beroperasi secara berperingkat sejak Februari lalu, dan kini ia bersedia sepenuhnya untuk menjadi nod transit utama buat pelancong domestik mahupun antarabangsa.

Kemudahan Seakan Di Lapangan Terbang Terus Di Dalam Pusat Beli-Belah

Terletak di aras LG1 (East Atrium), LTH menawarkan ruang pengangkutan dan menunggu yang selesa. Hub ini terletak di lokasi yang berbumbung sepenuhnya dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan mesra pengguna termasuklah:

  • Ruang menunggu dengan penyaman udara: Ruang legar menunggu yang sejuk dan selesa sementara menanti bas tiba.
  • Informasi masa nyata: Skrin Passenger Information Display System (PIDS) disediakan untuk memaparkan jadual bas secara langsung.
  • Kaunter tiket dan mesin layan diri: Memudahkan urusan pembelian tiket secara fizikal atau layan diri.
  • Kemudahan sokongan: Akses pantas kepada mesin ATM, pengurup wang (money changer), loker simpanan bagasi, Wi-Fi percuma, serta fasiliti mesra warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Hub Yang Menyambungkan Pengangkutan Awam

Sama ada anda ingin ke lapangan terbang atau bergerak di sekitar Lembah Klang, LTH bertindak sebagai pusat sehenti (one-stop centre) yang menghubungkan pelbagai mod pengangkutan:

  • Rangkaian kereta api: Akses pejalan kaki terus ke stesen LRT dan Monorel Hang Tuah, serta laluan berhampiran ke stesen MRT.
  • Perkhidmatan bas ekspres rentas sempadan: Dianggarkan sebanyak 30 operator bas akan menggunakan LTH sebagai stesen utama bagi laluan KL – Singapura.
  • Transit lapangan terbang: Terdapat perkhidmatan van van shuttle khas yang membawa penumpang terus ke KLIA Terminal 1 dan Terminal 2.
  • Menampilkan ruang khas untuk perkhidmatan seru pandu: Zon khas mengambil dan menurunkan penumpang seru-pandu disediakan di Pudu Entrance dan Hang Tuah Entrance. Malah, terdapat juga perkhidmatan shuttle atas permintaan Boleh-Boleh Ride untuk pergerakan sekitar bandar raya.

Dilengkapi Kemudahan Membeli-Belah

Kelebihan utama hab pengangkutan yang terletak di dalam pusat beli-belah adalah akses langsung ke lebih 300 stor di LaLaport BBCC. Ia merangkumi variasi pilihan kedai makan dan kafe, selain turut menampilkan stor ataubutik untuk kelengkapan harian.

Dengan ini, ia secara tidak langsung bukan sahaja memudahkan urusan harian komuniti bandar, malah menyokong agenda mobiliti lestari negara dengan mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan peribadi dan mengurangkan pelepasan karbon di dalam bandar.

Bagi anda yang merancang untuk ke Singapura atau memerlukan transit mudah ke KLIA tidak lama lagi, mungkin anda boleh menambah LaLaport Transportation Hub sebagai salah satu pilihan pengangkutan anda.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd